De Gea teruja kekal di United

De Gea teruja kekal di United

MANCHESTER, United Kingdom, 13 Sept (AFP) – Penjaga gol Manchester United, David de Gea yang hampir menyertai Real Madrid minggu lalu, menandatangani kontrak lanjutan selama empat tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan sebarang spekulasi serta masa depan tidak menentu De Gea yang tidak dapat berpindah gara-gara kertas kerja mengenai perkara itu lewat dihantar ke Madrid.

Di dalam akaun Twitter milik kelab gergasi Inggeris itu, United berkata: “David de Gea sudah menandatangani kontrak empat tahun di #mufc dengan pilihan untuk lanjutan selama setahun lagi.”

De Gea, 24, berkata: “Saya gembira dapat memulakan episod baru di United.

“Saya sentiasa seronok bermain dengan beberapa pemain hebat di dalam pasukan dan tambahan pula kami mempunyai penyokong yang tidak kurang hebatnya. Manchester United adalah sebuah kelab yang istimewa dan Old Trafford adalah tempat paling elok untuk saya mengembangkan karier.

David de Gea memberi reaksi ketika wisel penamat ditiup pada perlawanan Manchester United menentang Liverpool di Old Trafford di Manchester. – AFP
David de Gea memberi reaksi ketika wisel penamat ditiup pada perlawanan Manchester United menentang Liverpool di Old Trafford di Manchester. – AFP

“Saya mahu melupakan semua masalah dan menumpukan perhatian kepada usaha membantu pasukan dan rakan-rakan.”

Khabar mengenai kontrak baru itu diterima baik pengurus United Louis van Gaal yang berkata: “Saya sudah tentu gembira apabila mendapat tahu David menandatangani kontrak baru bersama kami.

“Dia adalah salah seorang penjaga gol terbaik dunia. Saya gembira apabila dia akan menjadi sebahagian daripada pasukan ketika kami sedang memburu banyak kejayaan.

“David memberikan sumbangan bermakna kepada persembahan kami musim lalu dan dia menjadi pemain terbaik kelab selama dua musim berturut-turut.”