De Gea tetap tenang kembali ke Carrington

De Gea tetap tenang kembali ke Carrington

MADRID, 8 Julai (Agensi) – Penjaga gol utama Manchester United, David De Gea menegaskan dia ‘sangat tenang’ berhubung masa depannya sambil menjelaskan, dia mahu kembali ke United untuk menjalani latihan pra-musim.

De Gea yang juga penjaga gol kebangsaan Sepanyol dijangka akan menyertai Real Madrid pada musim panas ini.

Walaupun dia enggan menandatangani kontrak baharu di United dan mahu berpindah ke Santiago Bernabeu, masih tiada perbincangan dibuat di antara kedua-dua pasukan.

Terdapat laporan yang mengatakan De Gea semakin gelisah dengan masa diambil bagi menyelesaikan urusan perpindahan tersebut, yang mana United mahukan Sergio Ramos sebagai syarat untuk Real mendapatkan penjaga gol The Red Devils itu.

“Saya perlu pulang ke Manchester untuk menjalani latihan pramusim,” kata De Gea sambil menyifatkan dia ‘sangat tenang’ dengan spekulasi tersebut.

Ketika pihak media cuba mendapatkan komen daripada teman wanitanya, Edurne Garcia, dia berkata: “Saya mahu berehat, anda juga perlu berehat pada pukul 2 pagi begini.”

Pemain berusia 24 tahun itu mencetuskan spekulasi apabila pulang ke Madrid minggu lalu, namun dia menegaskan kepulangannya itu hanyalah untuk bercuti sahaja.