Debaran Piala Presiden veteran

Debaran Piala Presiden veteran

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Nama PSJD dan XN FT akan terpahat dalam sejarah Piala Presiden Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan DST kerana PSJD merupakan juara edisi pertama pada 2010 manakala XN FT pula juara bertahan dua tahun berturut-turut, edisi keempat 2013 dan edisi kelima 2014.

Misi Persatuan Sang Jati Dusun (PSJD) adalah mengembalikan semula piala itu ke kabinet mereka, ujar Pengurus PSJD, Kamar Ringgit semasa sidang media, petang tadi.

Ketua Pasukan XN FT, Pengiran Isa bin Pengiran Haji Aliuddin membalas dengan mengatakan XN FT mempunyai misi untuk mempertahankan kejuaraan sekali gus dan bertekad untuk memenanginya buat kali ketiga.

Pengarah Kejohanan merangkap Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Veteran (VFA) Brunei Darussalam, Jabar Ithnin ketika mempengerusikan sidang media berkata, perlawanan akhir kali ini pasti menjanjikan aksi hebat antara dua pasukan yang pernah merangkul kejuaraan.

Jabar memaklumkan final antara dua pasukan terkuat itu dijadualkan berlangsung esok (Rabu) bermula jam 8 malam di Kompleks Sukan Berakas.

Kamar (kiri) dan Pg Isa semasa sidang akhbar menjelang final Piala Presiden Veteran Kebangsaan DST petang tadi.
Kamar (kiri) dan Pg Isa semasa sidang akhbar menjelang final Piala Presiden Veteran Kebangsaan DST petang tadi.

Kamar memaklumkan pemain PSJD cukup bersedia dan penuh semangat untuk mengulangi kejayaan 2010 lebih-lebih lagi lapan pemain skuad 2010 masih beraksi tahun ini.

PSJD berpeluang menyenaraikan kesebelasan utamanya yang seimbang di segenap bahagian esok termasuk tonggak kekuatan mereka seperti Tommy Kambang, Haji Sharifulbahrin Haji Zainal, Mohd Hakimi Abdullah Gampar dan Haji Sahari Hai Tahir.

Sementara XN FT yang majoriti pemainnya merupakan bekas pemain kebangsaan pasti mengimbas semula kenangan para peminat bola sepak tanah air era Piala Malaysia 90-an seperti Suni Mat Jerah, Pengiran Sallehuddin Pengiran Haji Damit, Mohd Ali Haji Momin, Alijanda Sitom dan Liew Chuen Fue, ujar Pengiran Isa.

Juara kejohanan akan membawa pulang Piala Presiden, piala iringan, pingat emas dan wang tunai $1,000, manakala naib johan akan memenangi piala iringan, pingat perak dan wang tunai $750.

Sementara dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir iaitu MOD dan MS PDB, masing-masing akan menerima hadiah wang tunai $500 beserta pingat gangsa.

ARTIKEL YANG SAMA