Debaran sebelum saingan separuh akhir

Debaran sebelum saingan separuh akhir

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Kejohanan bola sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Veteran Negara Brunei Darussalam kini menghampiri kemuncaknya apabila kedua-dua kejohanan Piala Presiden dan Piala FA kejohanan itu kini sudah memasuki peringkat separuh akhir bagi tahun 2016.

Lima buah pasukan melangkah ke peringkat separuh akhir menyaksikan pasukan BSRC dan Mohais dalam kalangan pasukan yang merebut empat kedudukan teratas kejohanan manakala tiga lagi pasukan terdiri daripada XN FT, I Team dan Al-Idrus pula mara dalam kedua-dua kejohanan itu tahun ini.

Justeru Media Permata berpeluang untuk membuat pendekatan bersama tiga pasukan yang bakal melalui kedua-dua peringkat separuh akhir bagi menjulang piala terbesar kejohanan Bola Sepak veteran di negara ini.

Penolong Pengurus I Team, Haji Zulkifli Haji Mumin ketika dihubungi menekankan bahawa disiplin dan kerja berpasukan adalah antara kunci kejayaan pasukannya baik di dalam mahupun di luar padang selain bersikap terbuka sesama rakan sepasukan untuk mengeratkan hubungan dan persefahaman masing-masing.

“Jika melihat kepada cabaran tahun ini sememangnya semua pasukan mempunyai kelebihan dan cara masing-masing dan pada kami semua cabaran ini akan kami lalui secara berpasukan selaras dengan hasrat pembentukan kelab ini pada awalnya,” ujarnya lagi.

Gambar ramai Pasukan XN FT.
Gambar ramai Pasukan XN FT.

Mengulas mengenai peluang ke final, menurutnya peluang kini masih 50-50 dan beliau menyatakan jika ia memang rezeki I Team pasti mereka akan melangkah ke sana nanti.

Sementara itu, Ketua Pasukan XNFT, Pengiran Isa bin Pengiran Haji Aliudin pula menegaskan secara keseluruhannya sepanjang perlawanan Piala Presiden dan FA XNFT menunjukkan konsistensi dan antara resipi prestasi itu adalah semangat perpaduan yang jitu antara pemain-pemain.

“Dengan adanya semangat ini menjadikan yang lainnya mudah dari segi penyusunan pemain, taktik, komitmen dan disiplin dan inisiatif sendiri dengan membuat latihan kecergasan persendirian adalah usaha pembaikan yang sangat menggalakkan,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai cabaran pula, beliau menegaskan penyertaan kali ini lebih mencabar dan untuk menjadi juara ia bukan kerja mudah dan lebih sukar padanya untuk mempertahankan  kejuaraan.

Menurut Pengiran Isa yang telah bersama XN FT memenangi Piala Presiden tiga kali berturut-turut itu menegaskan XN FT cukup bersemangat untuk merampas gelaran juara itu daripada mereka.

“Bola itu bulat dan apa pun boleh terjadi dalam sukan bola sepak dan apa yang penting adalah fokus dan komitmen berterusan oleh semua pemain untuk bukan sahaja mempertahankan kejuaraan piala presiden malah merebut kejuaraan piala FA bagi tahun 2016 ini,” tegasnya lagi.

Menurutnya, separuh akhir Piala Presiden nanti mereka akan melawan I Team dan berhadapan Mohais di piala FA, padanya kedua-dua pasukan ini sangat digeruni daripada pemain sehingga ke bahagian pengurusan.

“Mereka adalah pasukan yang komited, teratur dan berdisiplin dan itu menjadi kekuatan dan kelebihan mereka dalam kejohanan kali ini namun saya yakin kami akna sedaya upaya bermain dengan cemerlang,” tegasnya lagi

Beliau menyatakan harapan supaya barisan pemainnya akan menjadi contoh kepada generasi lebih muda untuk terus berkecimpung dalam sukan bola sepak tempatan dan menegaskan para pemain perlu menjaga nama pasukan bekas pemain kebangsaan yang menjadi perhatian anak-anak muda sebagai contoh dan teladan yang boleh mereka ikuti.