Debat calon presiden diharap beri kesan kepada pengundi

Debat calon presiden diharap beri kesan kepada pengundi

MANILA, 25 April – Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina (Comelec) berharap debat antara calon presiden membolehkan pengundi di negara itu lebih jelas siapakah yang akan diundi menjelang proses pengundian pada 9 Mei, lapor agensi berita China Xinhua.

Comelec dengan kerjasama media tempatan telah mengadakan pusingan debat kali ketiga dan yang terakhir di wilayah Pangasinan di utara Filipina yang turut dihadiri kelima-lima calon.

Calon-calon itu ialah naib presiden Jejomar Binay, Senator Grace Poe dan Miriam Defensor-Santiago, bekas setiausaha kerajaan tempatan Manuel Roxas II dan Datuk Bandar Davao Rodrigo Duterte.

Setiap calon berusaha menunjukkan kehebatan apabila masing-masing membentangkan mengenai dasar mereka berhubung isu tempatan dan antarabangsa.

Jurucakap Comelec James Jimenez dalam akaun Twitternya berkata, #PilipinasDebates2016 telah ‘memberikan kesan’.

Debat sebelum ini diadakan di bandar Cagayan de Oro selatan Filipina dan wilayah Cebu di tengah Filipina. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA