Dedah belia asas berkayak

Dedah belia asas berkayak

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Bagi memberikan peluang kepada golongan belia bagi mempelajari mengenai asas-asas kayak, Kelab Kanu Pusat Belia Bandar Seri Begawan telah mengadakan Program Pengenalan Kayak yang bertempat di Kolam Renang Pusat Belia, di ibu negara, hari ini.

Program pengenalan berkenaan yang telah diadakan dari jam 8 hingga 12 tengah hari itu secara terhad telah dibukakan kepada 10 peserta sahaja terdiri daripada lingkungan para belia yang mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk membolehkan mereka mengikuti program berkenaan.

Antara pengisian dalam program ialah pengenalan mengenai kayak dan kanu, pertunjukan cara menggunakan peralatan kayak, asas kayuhan, serta keselamatan berkayak.

“Konsep pada hari ini adalah secara asas, di mana para peserta belajar dan mempraktikkan teknik-teknik berkayak seperti forward paddling, backward paddling, swift stroke, support stroke dan rescue. Ini adalah keperluan asas untuk menjadi seorang Kayakers,” jelas Jurulatih Kayak, Mejar (B) Mohd Talip bin Haji Mohd Tahir.

Para peserta mendengarkan penerangan daripada salah seorang jurulatih mengenai asas kayak.
Para peserta mendengarkan penerangan daripada salah seorang jurulatih mengenai asas kayak.

Di Program Pengenalan Kayak berkenaan juga, Mejar (B) Mohd Talip telah dibantu oleh tiga orang Angkatan Tentera British yang sedang berkhidmat (perkhidmatan pinjaman) di Angkatan Tentera Diraja Brunei yang mempunyai kelayakan yang tinggi dalam peringkat asas serta mempunyai kemahiran dalam pertunjukan serta praktik.

Menurut beliau, memandangkan aktiviti kayak diadakan di air serta melibatkan risiko nyawa, adalah penting bagi para pelatih untuk mengetahui asas-asas berkayak di samping menjaga keselamatan mereka agar dapat mengurangkan risiko-risiko kecederaan dan juga perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

ARTIKEL YANG SAMA