Dedah belia tentang PKBN

Dedah belia tentang PKBN

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Serombongan belia yang terdiri daripada 42 orang ahli Sukarelawan Kampung Penaga 2000, Kuala Belait, telah mengadakan lawatan ke Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), di Perkampungan Sukan, Berakas, hari ini.

Lawatan bertujuan semata-mata untuk membuka minda para belia mengenai program dan aktiviti yang terdapat di kem latihan tersebut.

Semasa lawatan, para belia telah mendengarkan taklimat mengenai latar belakang PKBN yang disampaikan oleh Pengarah PKBN, Kolonel (B) Pengiran Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail.

Menurut beliau, seramai 290 orang belia terdiri daripada 194 orang pelatih lelaki dan 96 orang pelatih perempuan berjaya memasuki program berkenaan bagi pengambilan ke-5 yang telah bermula pada 6 Disember lalu dan akan menamatkan latihan pada 14 Mac 2016 depan.

Para belia dan tetamu ketika mendengarkan taklimat yang disampaikan.
Para belia dan tetamu ketika mendengarkan taklimat yang disampaikan.

Beliau menyatakan, daripada jumlah berkenaan, 208 orang adalah terdiri dari Daerah Brunei dan Muara, 48 dari Daerah Tutong, 27 dari Daerah Belait dan tujuh orang pelatih dari Daerah Temburong.

Dalam taklimat itu, rombongan juga dijelaskan taklimat mengenai pelaksanaan latihan PKBN, yang mana Bahagian Khidmat Bakti Negara masih mengguna pakai kurikulum yang sama dan akan sentiasa mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan program berkenaan berjalan dengan lancar, teratur serta berkesan, terutamanya dalam aspek keselamatan yang diberi keutamaan di sepanjang program dijalankan.

Rombongan juga telah dibawa melawat ke bangunan kem latihan, menyaksikan latihan kawad, melawat bilik kuliah yang terletak di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA