Dedah kepentingan solat berjemaah

Dedah kepentingan solat berjemaah

TUTONG, 25 Jan – Ke arah memberikan pengetahuan yang meluas mengenai kepentingan solat berjemaah, Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, telah menganjurkan bengkel kesempurnaan solat berjemaah yang diadakan di masjid berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohammad.

Seramai 75 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Daerah Tutong, jemaah masjid, para belia dan orang ramai telah menghadiri bengkel tersebut.

Dalam ucapan pengerusi bengkel, Haji Mohammad Aidil Sofian bin Mohammad Yassin menyatakan bahawa antara objektif bengkel ini adalah untuk memberi keyakinan dan kepercayaan kepada peserta bengkel tentang tugas memimpin dalam solat berjemaah.

Selain itu, ia juga dihasratkan bagi melahirkan sebuah keluarga atau masyarakat Islam yang bahagia, berkasih sayang, hormat-menghormati dan mengeratkan tali silaturahim dalam sesebuah keluarga dan masyarakat.

Salah seorang pembengkel menerangkan cara mengambil tempat dalam solat berjemaah.
Salah seorang pembengkel menerangkan cara mengambil tempat dalam solat berjemaah.

Semasa bengkel tersebut, para peserta telah dibahagikan kepada empat kumpulan dengan dipimpin oleh empat orang pembengkel undangan.

Antara pengisian bengkel ialah  hukum solat berjemaah, hikmah solat berjemaah dan keutamaan solat berjemaah, syarat-syarat solat berjemaah, pahala solat berjemaah, masalah solat berjemaah, masalah Masbuq dan Muwafiq, cara mengambil tempat dalam solat berjemaah dan beberapa permasalahan dalam solat berjemaah.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil oleh tetamu kehormat kepada para peserta bengkel. – HM Yusof