Dedah kerjaya mengenai ABDB

Dedah kerjaya mengenai ABDB

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Kementerian Pertahanan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Bersempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-55, jerayawara kerjaya yang berkonsepkan ‘Try, Look and Feel’ telah diadakan di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada jerayawara setengah hari itu ialah Pemangku Komandan Khidmat Bantuan Kombat, Kol Hafizul bin Awang Hassan.

Lima buah sekolah, dengan masing-masing menghantar 90 orang pelajar, telah dijemput menghadiri jerayawara tersebut, iaitu dari Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Sengkurong; Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Ban 5; Sekolah Menengah Masin, Kampung Masin; Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab; dan Sekolah Menengah Awang Semaun, Sungai Kebun.

Konsep jerayawara pada tahun ini bertujuan untuk melihat dan mencuba kelengkapan yang ada serta merasa bagaimana menjadi seorang tentera.

Antara objektif jerayawara tersebut adalah untuk memberikan pendedahan kepada penuntut sekolah mengenai kerjaya yang terdapat dalam ABDB dan memberikan pendedahan mengenai biasiswa yang ada di Kementerian Pertahanan.

Antara para pelajar yang hadir menyaksikan jerayawara kerjaya ABDB sempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-55 itu.
Antara para pelajar yang hadir menyaksikan jerayawara kerjaya ABDB sempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-55 itu.
Anggota ABDB yang terlibat dalam jerayawara tersebut.
Anggota ABDB yang terlibat dalam jerayawara tersebut.
Jerayawara kerjaya sempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-55, diadakan di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong.
Jerayawara kerjaya sempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-55, diadakan di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong.

Selain itu, ia juga mengalihkan persepsi stereotaip bahawa tentera untuk berperang sahaja, menarik minat penuntut dengan peralatan dan kelengkapan yang boleh dicuba secara ‘hands-on’ yang boleh menimbulkan minat untuk mengetahui lebih mendalam serta menggunakan konsep ‘pedagogi’ dengan menyediakan penuntut dengan ilmu kehidupan seperti pendedahan budaya kerja, tradisi dan pelbagai pilihan kerjaya.

Acara tersebut diharap akan memberikan para penuntut untuk membuat pilihan bermaklumat mengenai bidang kerjaya yang ada, diminati dan ingin diceburi.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Jerayawara, Mejar Mohammad Azhan bin Haji Ahmad yang antara lain memberi pengenalan mengenai ketenteraan.

Diikuti dengan taklimat yang disampaikan oleh wakil pegawai daripada Tentera Darat Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei, Khidmat Perubatan dan Unit Pengambilan ABDB.

Setiap unit menerangkan maklumat mengenai unit, apa yang menarik dalam unit tersebut, cabaran yang perlu dihadapi untuk berada di unit tersebut, kelulusan dan kursus yang diperlukan, cabaran dan kejayaan sebagai seorang tentera.

Acara diteruskan dengan memberi peluang para penuntut melawat pameran yang disediakan oleh unit-unit, termasuk pelbagai kelengkapan dan peralatan untuk dipakai dan dicuba untuk dijadikan kenangan pada masa hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA