Dedah pelajar bahaya HIV, AIDS

Dedah pelajar bahaya HIV, AIDS

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 24 April – Pelajar-pelajar Institut Pendidikan Teknik Brunei (IBTE) Kampus Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB) telah didedahkan mengenai HIV dan AIDS dalam ‘Program Pendedahan HIV Bagi Belia dan Remaja (HAPPY)’ anjuran Majlis AIDS Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan.

Program yang dibiayai Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, yang diisikan dengan bengkel mini selama dua jam, itu merupakan usaha berterusan Majlis Belia untuk menyebarkan pengetahuan dan mendidik serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pelajar tentang HIV dan AIDS.

Di samping itu, ia juga dihasrat untuk memberikan inspirasi kepada perubahan sikap yang berkaitan dengan topik, untuk menjadikan mereka berpengetahuan dan bijak dalam membuat keputusan mengenai masalah sosial utama yang dihadapi di negara ini seperti penyakit berjangkit melalui hubungan kelamin serta kehamilan yang tidak diingini dan sebagainya.

Projek HAPPY merupakan antara bukti komitmen pihak penganjurnya untuk mencapai matlamat mereka yang berkisar pada aktiviti interaktif dan menarik untuk melengkapkan generasi muda dengan pengetahuan dan strategi bagi mengelakkan menyumbang kepada dilema sosial yang boleh memberikan kesan buruk ke atas negara.

Sebahagian pelajar ketika mendengarkan ceramah yang disampaikan pada majlis tersebut.
Sebahagian pelajar ketika mendengarkan ceramah yang disampaikan pada majlis tersebut.

IBTE melalui program ini turut menyediakan pendidikan holistik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran hidup, pekerjaan dan kejayaan kerjaya serta dengan pendidikan yang diperlukan dalam mengekalkan perjuangan dalam hidup mereka.

Melalui Program HAPPY, ia juga akan membantu para pelajar sentiasa mempunyai pengetahuan terkini di samping bijak melakukan cara hidup yang sihat dan selamat tanpa risiko yang tidak diingini.

ARTIKEL YANG SAMA