Dedah pelajar khidmat telekomunikasi negara

Dedah pelajar khidmat telekomunikasi negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – Seramai 23 orang pelajar dari Institut Teknologi Brunei (ITB) yang disertai pensyarah-pensyarah mereka telah mengadakan lawatan ke TelBru Telephone House di Sumbiling, baru-baru ini.

Para pelajar berkenaan merupakan pelajar tahun akhir pengajian Diploma Tertinggi Kebangsaan (HND) yang mengikuti Program Kejuruteraan Rangkaian.

Menurut kenyataan TelBru, di sini, tujuan lawatan tersebut diadakan adalah untuk mempelajari lebih lanjut mengenai khidmat-khidmat telekomunikasi di Brunei, untuk mendapat pengetahuan dan pemahaman yang lebih baik terhadap sistem teras dan rangkaian TelBru, mendedahkan para pelajar kepada teknologi terkini dalam industri telekomunikasi, serta mendedahkan mereka dengan teknologi semasa dalam industri telekomunikasi.

Sumbiling Telephone House merupakan salah sebuah bangunan TelBru yang merangkumi kesemua majoriti operasi teknikal dan tempat stesen penyelenggaraan seperti kabel-kabel telefon, pautan-pautan jalur lebar, pusat kawalan IT dan rangkaian server.

Ketika lawatan itu, para pelajar juga dibawa melawat ke beberapa unit pengendalian utama di TelBru seperti pusat rangkaian operasi, Teras IP dan Multimedia, Datacom dan Sekuriti ICT.

Rombongan ITB ketika mengadakan lawatan ke salah satu unit pengendalian utama di TelBru.
Rombongan ITB ketika mengadakan lawatan ke salah satu unit pengendalian utama di TelBru.

Salah seorang pelajar berkenaan berkata, “Lawatan ini sangat berguna kerana kami boleh menggunakan semua maklumat asal bagi projek kami, dan mengetahui situasi sebenar rangkaian di Brunei adalah suatu pengalaman bagus bagi saya. Kini saya tahu bagaimana sebenarnya ia disambungkan ke rumah kami.”

Semasa lawatan, rombongan juga dibantu oleh kakitangan teknikal TelBru dari setiap unit dalam memberikan penjelasan teliti mengenai proses terkini dan aliran kerja beberapa sistem operasi dan penyelenggaraan, yang boleh membantu para pelajar menyiapkan projek terakhir mereka.

ARTIKEL YANG SAMA