Dedah pelajar kuasai Bahasa Arab

Dedah pelajar kuasai Bahasa Arab

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 6 April – Sebagai usaha memberikan kesedaran kepada para pelajar bahawa mempelajari Bahasa Arab bukanlah sesuatu perkara yang amat susah malahan ia adalah sangat menyeronokkan, Jabatan Pengajian Islam melalui Bahagian Sekolah Arab telah menganjurkan Program Bengkel Kenali Kamus Bahasa Arab yang berlangsung di Sekolah Arab Belait di sini, hari ini.

Bengkel tersebut telah melibatkan penyertaan seramai 25 orang dalam kalangan pelajar Tahun 7 dan 8 dari lima buah sekolah arab seluruh negara, antaranya Sekolah Arab Belait, Sekolah Arab Sungai Akar, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) dan Sekolah Persediaan Arab Temburong serta Ma’had Islam Brunei.

Ia dihasratkan untuk dapat menambahkan pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan kamus serta memperkayakan perbendaharaan kata para peserta di samping bertujuan untuk mengenalkan kamus Bahasa Arab dan jenis-jenisnya kepada para pelajar, serta menunjuk cara dan melatih penggunaan kamus dengan betul dan tepat.

Selain itu, ia juga dihasratkan untuk dapat memudahkan lagi para peserta semasa membaca buku dan juga teks kesusasteraan dalam Bahasa Arab, dan diharapkan dapat mengongsi sama apa yang telah dipelajari dan diperolehi daripada program ini bersama dengan rakan-rakan di sekolah masing-masing.

Lebih 20 pelajar menyertai Program Kenali Kamus Bahasa Arab bagi Sekolah-Sekolah Arab seluruh negara.
Lebih 20 pelajar menyertai Program Kenali Kamus Bahasa Arab bagi Sekolah-Sekolah Arab seluruh negara.

Guru Besar Sekolah Arab Belait, Dayang NurAmalina binti Haji Mohd Ali, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, pelajar yang baru melangkah ke peringkat menengah sudah pasti mempunyai cabaran dalam pembelajaran terutama bagi mata pelajaran Bahasa Arab lebih mendalam dan memerlukan pengetahuan dari segi makna dan penggunaannya dalam sesuatu ayat.

Menurutnya, dengan adanya program tersebut para pelajar sedikit sebanyak akan dapat mengetahui cara untuk mencari makna sesuatu perkataan yang memerlukan kepada pencarian kata dasar bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pencarian makna.

“Para pelajar adalah juga diharapkan supaya dapat melanjutkan penggunaan kamus Bahasa Arab setiap hari sama ada di sekolah mahupun di rumah supaya dapat menambah perbendaharaan kata dan dapat menyesuaikan penggunaannya dalam sesuatu ayat, dan adalah disarankan juga untuk para pelajar berjinak-jinak menggunakan kamus Arab yang maknanya dalam Bahasa Arab iaitu ‘arabi bilarabi’,” katanya.

Bengkel berkenaan dikendalikan oleh dua orang fasilitator undangan iaitu Awang Mohd Idres bin Awang Haji Metussin dari Sekolah Arab Sungai Akar dan Dayang Martiniwati binti Haji Ahmad dari SUAMPRIPAD.

ARTIKEL YANG SAMA