Dedah pelajar luar kenali negara Brunei

Dedah pelajar luar kenali negara Brunei

Oleh Syahmi Hassan & Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Mei – Rombongan seramai 10 orang belia dari Republik Korea yang sedang mengikuti Program Pertukaran Belia Dua Hala Republik Korea dan Brunei Darussalam, hari ini, telah diperkenalkan kepada keluarga angkat mereka dalam majlis yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, di ibu negara. Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat. Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan.

Pada majlis itu, mereka telah diperkenalkan kepada lima buah keluarga angkat, dan mereka akan tinggal di rumah keluarga angkat berkenaan selama dua hari untuk mengalami sendiri budaya, tradisi dan kehidupan orang Brunei, termasuk merasa makanan tempatan serta menghadiri majlis perkahwinan.

Hajah Nurul Erna Azlina binti Haji Zainal sebagai wakil bagi bapanya, Haji Zainal bin Haji Safar, yang merupakan salah satu keluarga angkat bagi rombongan belia Korea berkenaan, ketika ditemu bual Media Permata menjelaskan bahawa keluarga mereka akan membawa mereka ke tempat-tempat menarik yang ada di kampung mereka di Katimahar.

“Esok, kami akan membawa mereka ke Taman Agri Katimahar. Di sana mereka akan dapat menaiki motor ATV dan juga bersiar siar/makan angin di hutan-hutan (wilderness). Ini akan diadakan pada sebelah petang esok.

“Manakala bagi sebelah paginya, kami akan membawa mereka makan di tempat restoran tempatan. Dan di sebelah malam pula kami akan mengadakan majlis barbeku di rumah kami untuk mereka,” jelas Hajah Nurul Erna Azlina.

Salah seorang wakil keluarga angkat ketika menerima dua orang daripada rombongan belia Korea untuk tinggal bersama mereka.
Salah seorang wakil keluarga angkat ketika menerima dua orang daripada rombongan belia Korea untuk tinggal bersama mereka.

Menurutnya, keluarga mereka sering kali secara sukarela menjadi keluarga angkat sejak tahun 1997 lagi dan telah menerima pelbagai rombongan dari beberapa buah negara antaranya ialah dari Amerika Syarikat, Malaysia, Korea, dan kebanyakannya adalah dari Jepun.

Terdahulu sebelum itu, rombongan yang diketuai oleh Pegawai dari Kementerian Gender, Kesamaan dan Keluarga Republik Korea, Park Jin Young itu turut dibawa membuat lawatan ke ke Mahkota Crystal Sdn Bhd bagi menyaksikan sendiri proses penghasilan gelas dalam studio kilang kaca di negara ini.

Ketibaan rombongan yang ditemani oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah dialu-alukan oleh Pengurus Pemasaran dan Jualan I, Mahkota Crystal, Alexander Petrus Lee yang juga memangku Pengurus Besar Sementara, dan Pengurus Pemasaran dan Jualan II, Joanna Dato Haji Danial.

Rombongan tersebut dibawa ke bilik pameran yang menempatkan produk-produk yang telah siap untuk dijual, termasuk cenderamata, barangan rumah dan barangan yang bertemakan ketenteraan bagi kedatangan Sambutan Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Rombongan berkenaan berada di negara ini hingga 19 Mei di mana mereka juga akan membuat lawatan ke beberapa jabatan kerajaan, persatuan, syarikat-syarikat dan tempat-tempat yang menarik di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA