Dedah pelajar mengenai tugas dan peranan polis

Dedah pelajar mengenai tugas dan peranan polis

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 16 Nov – Lebih 40 orang murid Tadika Sekolah St. John, Kuala Belait, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat Daerah Polis Belait Lorong 14 Panaga, di sini, hari ini.

Mengiringi bersama rombongan murid tersebut ialah empat orang guru mereka, dengan diketuai oleh Pengawas Kelas Tadika, Yong Min Chu.

Semasa lawatan tersebut, yang juga merupakan program lawatan akhir tahun menjelang cuti persekolahan tidak lama lagi, murid-murid bersama guru-guru mereka telah berpeluang mendengarkan taklimat mengenai fungsi serta tugas-tugas Pasukan Polis Diraja Brunei dan mengenai Akta-akta Kesalahan Jenayah berserta hukuman jenayah yang telah disampaikan oleh Sarjan Mejar Mohd Suzaini bin Abd Karim daripada Unit Perhubungan Awam Polis, Daerah Belait.

Di samping itu, murid-murid juga telah berpeluang menyaksikan pameran yang diadakan oleh Ahli Ibu Pejabat Daerah Polis Belait dan Unit RUA Kompeni Panaga.

Gambar ramai murid-murid Tadika Sekolah St. John bersama guru dan anggota polis dalam lawatan ke Ibu Pejabat Daerah Polis Belait.
Gambar ramai murid-murid Tadika Sekolah St. John bersama guru dan anggota polis dalam lawatan ke Ibu Pejabat Daerah Polis Belait.

Seterusnya, murid-murid juga telah dibawa melawat bilik lokap, serta menyaksikan pameran kenderaan polis, sejurus sebelum rombongan menamatkan lawatan pada kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Yong Min Chu memberitahu, lawatan tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan pengalaman murid-murid tadika, dan melalui lawatan-lawatan ke beberapa tempat sebelum ini, murid-murid turut menjadikannya sebagai bahan pembelajaran melukis dan bercerita di sekolah.

Menurutnya lagi, lawatan itu juga adalah sebagai salah satu aktiviti pembelajaran di luar sekolah.

Sebelum ini, murid-murid tadika sekolah berkenaan juga telah mengadakan lawatan ke beberapa tempat seperti Balai Bomba Kuala Belait, Pusat Membeli-belah KBSentral dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA