Dedah pemain sertai perlawanan diiktiraf FIFA

Dedah pemain sertai perlawanan diiktiraf FIFA

TAHUN 2016 sudah menyapa kita namun apakah pasukan bola sepak negara kita (senior team) sudah bersiap-siaga?

Yang pasti, ranking negara di tangga ke-185 dalam FIFA sekarang bukan sesuatu yang harus dibanggakan namun ianya harus menjana pemikiran sebilangan kita untuk bertindak lebih proaktif bagi memantapkan pasukan negara yang tidak menghadapi sebarang pertandingan besar.

Kita sedia maklum yang Kejohanan Trofi Hassanal Bolkiah adalah untuk skuad Bawah 21 tahun negara sementara negara juga memiliki skuad Bawah 19 tahun dan skuad Bawah 16 tahun yang aktif dalam liga tempatan.

Mereka juga mempunyai acara penyertaan antarabangsa mengikut kumpulan umur yang dianjurkan oleh ASEAN Football Federation (AFF) dan Asian Football Confederation (AFC).

Jadi apakah yang harus dilakukan oleh pasukan senior negara yang usia pemain-pemainnya dijangka berusia 23 tahun ke atas dan kebanyakannya produk daripada skuad Bawah 21 tahun?

Cadangan saya ada dua. Pertama, fokus penglibatan mereka dalam Kejohanan Liga Bola Sepak Super ASEAN (ASEAN Super League) yang dijangka bermula Ogos ini.

Kedua, pada masa yang sama, sewaktu ada kelapangan seperti sewaktu tarikh-tarikh yang diiktiraf oleh FIFA untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa, NFABD harus buat perundingan dengan pasukan-pasukan sebelah sini dan menjemput mereka bermain di sini dalam perlawanan yang boleh diiktiraf sebagai A-class international friendlies.

Sudah lama kita menunggu peluang untuk menyaksikan pasukan senior negara menentang Maldives atau berdepan dengan Nepal, apatah lagi mencuba nasib dengan Papua New Guinea di tempat sendiri.

Di sini baru kita tahu di mana kita berdiri dalam persada bola sepak serantau dan seterusnya antarabangsa.

Penyertaan pasukan senior negara, untuk makluman semua, lebih kepada anjuran FIFA seperti kelayakan Piala Dunia, kelayakan Piala Asia dan kelayakan Sukan Olimpik, yang Insya Allah, hanya akan dapat kita sertai seawal-awalnya tahun 2018 nanti, jadi masih banyak masa untuk kita membangun pasukan senior negara yang mantap lagi digalati. Di samping itu, pasukan-pasukan berkenaan dapat mengenali lebih dekat lagi negara kita dan seterusnya membawa manfaat kepada sektor pelancongan di negara ini.

Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA