Dedah penuntut sekolah ehwal perbankan

Dedah penuntut sekolah ehwal perbankan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Bank Baiduri dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini menerima lawatan rombongan penuntut-penuntut sekolah rendah, bersempena dengan Global Money Week 2016.

Lawatan anjuran Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama daripada Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan antara lain bertujuan meningkatkan pengetahuan penuntut tentang operasi-operasi bank dan seterusnya, meningkatkan lagi pengetahuan mereka tentang sistem-sistem kewangan di Negara Brunei Darussalam.

Seramai 30 orang penuntut dari Sekolah Rendah Pusar Ulak, Sekolah Rendah Bukit Panggal dan St Angela’s School telah melawat pejabat Bank Baiduri di Kiarong sementara 30 orang penuntut Sekolah Rendah OKSB Kilanas, Sekolah Rendah Serasa dan Sekolah Rendah Sungai Liang telah melawat pejabat BIBD di Bandar Seri Begawan.

Di Bank Baiduri, para penuntut telah diperkenalkan kepada dunia perbankan oleh perancang kewangan peribadi bank tersebut. Ini diikuti dengan lawatan ke premis Baiduri Capital dan Baiduri Bank. Selain daripada itu, kuiz dan permainan interaktif yang bertemakan pengurusan wang yang bijak dan bertanggungjawab juga telah diadakan.

Gambar ramai rombongan penuntut sekolah rendah yang menyertai lawatan tersebut.
Gambar ramai rombongan penuntut sekolah rendah yang menyertai lawatan tersebut.

Sementara itu, pihak BIBD telah berkongsi dengan para penuntut yang hadir mengenai latar belakang kewangan Islam dan seterusnya, memberi taklimat ringkas mengenai aktiviti harian sesebuah bank. Para penuntut kemudian dibawa melawat premis BIBD yang baru diubahsuai.

Sementara itu, seramai 160 lagi penuntut akan mengadakan lawatan ke Insurans Islam TAIB dan Galeri Matawang, AMBD semasa acara Global Money Week ini diadakan. Global Money Week merupakan satu acara bagi meningkatkan kesedaran mengenai kewangan yang disambut setiap tahun dan dianjurkan oleh pihak Child & Youth Finance International (CYFI).

Negara Brunei Darussalam telah menyertai acara ini sejak tahun 2013, yang mana pada sebelum ini telah dikelolakan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan Tabung Amanah Pekerja (TAP).