Dedah perkembangan sukan pada usia muda

Dedah perkembangan sukan pada usia muda

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Kem Sukan yang dihadiri oleh lebih 200 orang murid dari sekolah-sekolah rendah Daerah Tutong berakhir hari ini dengan majlis penutup yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Tutong.

Penyampaian sijil kepada para peserta dan jurulatih telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum di Kementerian Pendidikan, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar selaku tetamu kehormat majlis.

Pada tahun ini, hanya empat sukan sahaja yang dibukakan kepada murid-murid, dengan seramai 165 orang murid mengikuti sukan renang, 53 orang murid mengikuti sukan badminton, 42 orang murid mengikuti sukan bola jaring dan 31 orang murid mengikuti sukan olahraga.

Jurulatih-jurulatih yang terlibat dalam Kem Sukan ini terdiri daripada jurulatih-jurulatih yang berpengalaman dalam aktiviti sukan masing-masing dan antaranya ialah Hajah Nurmah binti Haji Jumahat (jurulatih badminton), Haji Besar bin Haji Omar (jurulatih renang), Haji Shahrom bin Haji Samsudin (jurulatih olahraga) dan Dayang Rosni binti Haji Yahya (jurulatih bola jaring).

Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada murid-murid yang menyertai acara dalam Kem Sukan tersebut.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada murid-murid yang menyertai acara dalam Kem Sukan tersebut.

Kem sukan ini diadakan bertujuan untuk memastikan kanak-kanak di daerah ini berpeluang merasai pengalaman bersukan di bawah latihan jurulatih-jurulatih berpengalaman, di samping dapat membina dan mengembangkan minat kanak-kanak untuk menyertai sukan yang mereka minati.

Program ini dirancang untuk mengembangkan kemahiran mereka dengan memberikan penekanan untuk memberikan keseronokan bermain sambil bersukan, selain dapat memberikan pendedahan beberapa jenis sukan kepada kanak-kanak pada awal usia.

Kem ini dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum Cawangan Daerah Tutong khusus bagi murid-murid sekolah rendah Daerah Tutong.

Kem tiga hari bermula 21 Mac itu diadakan di dua buah tempat iaitu di Kompleks Sukan Tutong yang melibatkan sukan bola jaring, renang dan olahraga, dan di Dewan Kemasyarakatan Serambangun bagi sukan badminton.

ARTIKEL YANG SAMA