Dedah siswa kepada syarahan umum

Dedah siswa kepada syarahan umum

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Awang Muhammad Anuar bin Haji Bahar dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) muncul juara Pertandingan Da’ie Muda sempena Program Suhwatul Ummah yang berlangsung di Dewan Auditorium UNISSA, Gadong, hari ini.

Dengan syarahan bertajuk ‘Allah Maha Penyayang’ beliau mendapat markah 82 peratus, sekali gus mengalahkan Awang Mohammad Nur Adli bin Haji Manan juga dari UNISSA yang memperoleh 75 peratus melalui syarahan ‘Rahmat Allah’, manakala Awang Mohammad Khairul Muaz bin Haji Sibodaud dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di tempat ketiga dengan 70 peratus melalui syarahan bertajuk ‘Kerinduan’.

Pertandingan turut disertai lima orang peserta lain dari Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei.

Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Program Suhwatul Ummah yang bertemakan ‘Hamasah Asy-Syabab’ anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar UNISSA itu ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

Hadir sama ialah para pegawai utama, dekan dan timbalan dekan, para pensyarah, pegawai dan siswa-siswi UNISSA.

Kumpulan Tausyeh Aswatun Fannan ketika mempersembahkan tausyeh pada majlis berkenaan.
Kumpulan Tausyeh Aswatun Fannan ketika mempersembahkan tausyeh pada majlis berkenaan.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah juara kepada Awang Muhammad Anuar.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah juara kepada Awang Muhammad Anuar.

Program yang dijayakan dengan kerjasama Unit Keugamaan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA itu telah bermula sejak 31 Mac lalu dan berjaya menarik kunjungan yang di luar jangkaan.

Antara objektif Pertandingan Da’ie Muda diadakan adalah bagi menjadikan para siswa UNISSA individu yang aktif dalam program-program keagamaan, menjadikan mereka seorang Muslim yang menyeluruh dan mendedahkan mereka kepada syarahan umum.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang kemudiannya diteruskan dengan Pertandingan Da’ie Muda.

Sementara menunggu keputusan dariada para hakim, hadirin telah dipersembahkan dengan persembahan tausyeh daripada Kumpulan Aswatun Fannan dari UNISSA dan tayangan klip video penutup sebelum majlis berakhir dengan bacaan doa selamat.

Turut memeriahkan program itu ialah pameran dan bazar bertempat di Gimnasium UNISSA yang disertai sebanyak 15 buah gerai dengan enam daripadanya diusahakan oleh keenam-enam fakulti di UNISSA.

ARTIKEL YANG SAMA