Dedah Sukan Pedang agar terus diperkembangkan

Dedah Sukan Pedang agar terus diperkembangkan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Lebih 30 peserta dari Daerah Brunei Muara, Tutong dan Belait menyertai Kejohanan Lawan Pedang terbuka Persatuan Lawan Pedang Brunei Darussalam 2016 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

Tampil Juara dalam Men’s Sabre ialah Mohd Hardiwan Shah Rahim yang mendahului Mohd Anaqi Danish Asahrin di tempat kedua dan Huzaimi bin Kassim di tempat ketiga, sementara itu bagi Men’s Foil pula dimenangi oleh Mohd Hazeeq Asmuie bin Mohd Fazillah, diikuti oleh Mohd Aghniya Billah bin Haji Ariffin dan Mohd Hadi bin Haji Sawal di tempat kedua dan ketiga.

Bagi Men’s Epee pula, Abdul Azim Ibrahim tampil di tangga teratas apabila meninggalkan saingannya Muinuddin bin Masri yang berada di tempat kedua, sementara Mohd Aizuddin Yazin bin Haji Yahya terpaksa akur di tempat ketiga.

Dalam bahagian perempuan, Women’s Foil dikuasai oleh Hajah Anis Sabrina binti Haji Yahya yang meninggalkan saingnya rapatnya Maisarah binti Mahusin di tempat kedua dan Nur Aqilah binti Ahmad di tempat ketiga.

Barisan pemenang di dalam salah satu kategori kejohanan perlawanan pedang anjuran Persatuan Lawan Pedang Brunei Darussalam bersama tetamu kehormat majlis.
Barisan pemenang di dalam salah satu kategori kejohanan perlawanan pedang anjuran Persatuan Lawan Pedang Brunei Darussalam bersama tetamu kehormat majlis.

Women’s Epee pula menyaksikan Michelle Angeline Tan tampil juara menewaskan Hafezah binti Haji Rashid yang berada di tempat kedua dan di tempat ketiga disandang oleh Nurul Bazilah binti Haji Mohd Tarsat.

Manakala Women’s Sabre pula diungguli oleh Nadirah Pang binti Muhd Rais Pang yang berada di tempat pertama, diikuti di tempat kedua Norhaziqah binti Zamri dan akur di tempat ketiga ialah Naila Nasibah Pang binti Muhd Rais Pang.

Hadir menyempurnakan hadiah ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Martiam binti Ulat.

Kejohanan tersebut merupakan usaha berterusan pihak penganjur untuk mempromosikan sukan lawan pedang dan sekali gus memastikan ia terus berkembang di negara ini.

Ia juga merupakan langkah persediaan bagi kejohanan yang bakal ditempuhi peserta lawan pedang di kejohanan Asia Tenggara-Pasifik dan Kejohanan Lawan Pedang Kadet di manila bermula 21 hingga 31 Mei 2016.