Dedah teknik berdikir dengan betul

Dedah teknik berdikir dengan betul

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Kumpulan Dikir Lelaki dari Masjid Sufri Bolkiah, Perpindahan Berakas dan Kumpulan Dikir Perempuan dari Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait muncul johan dalam kategori masing-masing dalam Pertandingan Dikir Brunei bagi Pegawai Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah Masjid Senegara Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 tahun.

Dalam kategori lelaki, kumpulan dari Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop menduduki tempat kedua dan diikuti oleh kumpulan dari Masjid Perpindahan Lambak Kanan di tempat ketiga.

Manakala itu, kumpulan dari Masjid Hassanal Bolkiah, Tutong muncul sebagai naib johan kategori perempuan dan kumpulan dari Masjid Kampung Batu Apoi, Temburong berada di tempat ketiga.

Pertandingan berkenaan telah berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah yang juga selaku tempat Pusat Pengajian Dikir, manakala itu pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah diadakan di Dewan Serba Guna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.

Haji Harun menyampaikan hadiah kepada johan Kumpulan Dikir Lelaki.
Haji Harun menyampaikan hadiah kepada johan Kumpulan Dikir Lelaki.
Haji Harun menyampaikan hadiah kepada johan Kumpulan Dikir Perempuan.
Haji Harun menyampaikan hadiah kepada johan Kumpulan Dikir Perempuan.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid.

Majlis penyampaian hadiah turut diserikan dengan persembahan oleh johan pasukan Dikir Brunei bahagian lelaki dan perempuan.

Pertandingan ini bertujuan untuk memberikan bimbingan dan pendedahan serta memberi peluang para peserta mempelajari teknik/kaedah berdikir yang betul agar mampu mempersembahkan Dikir Brunei dengan baik dan sempurna.

Selain itu juga untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu bacaan Dikir Brunei dari segi Fashahah, lagu dan suara yang akan dapat melahirkan individu atau kumpulan Dikir Brunei daripada kalangan pegawai masjid,  ahli jawatankuasa takmir dan jemaah masjid.

Antara objektif pertandingan juga adalah untuk menggalakkan peserta supaya akan terus mempelajari dan menguasai lagu-lagu dikir ini dan seterusnya dapat menyampaikan hajat masyarakat awam khususnya bagi menyerikan acara-acara keagamaan serta menggalakkan para peserta sentiasa mengamalkan selawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam supaya menjadi amalan harian dan beroleh berkat daripadanya.

Salah seorang peserta yang ditemui berkata, pertandingan ini juga boleh meningkatkan dan menaikkan semangat patriotik kalangan pegawai masjid, ahli jawatankuasa takmir dan jemaah masjid dalam sama-sama melibatkan diri dalam pertandingan acara-acara berbentuk keagamaan dan juga menambah keyakinan mereka dalam mengikuti pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak masjid.

Tidak ketinggalan juga, pertandingan dikir ini juga boleh mengeratkan hubungan silaturahim sesama pegawai masjid, ahli jawatankuasa takmir dan jemaah masjid.

Sebanyak lapan kumpulan lelaki dan tujuh kumpulan perempuan telah menyertai pertandingan berkenaan di mana para peserta lelaki  dan perempuan telah membawakan lagu Asyrakal Jawi.

Pihak penganjur berharap dengan adanya pertandingan seumpama ini para peserta akan dapat membawakan Dikir Brunei dengan baik dan sempurna sekali gus dapat mewarisi khazanah yang berharga yang telah diwarisi oleh orang-orang Melayu Brunei dari dahulu lagi.

ARTIKEL YANG SAMA