Dedahkan muri...

Dedahkan murid dengan kegiatan luar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Mac – Bagi mengisikan aktiviti bersempena musim cuti persekolahan yang bakal tiba, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait telah mengadakan lawatan ke Parrot Kingdom di Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Aktiviti tersebut telah melibatkan penyertaan seramai tujuh orang dalam kalangan murid-murid sesi pagi pusat berkenaan yang berusia antara tiga hingga lima tahun yang disertai sama oleh tenaga-tenaga pengajar dan ibu bapa murid-murid pusat berkenaan.

Turut menyertai lawatan itu ialah Pengurus Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar.

Dalam temu bual bersama Dayang Hamimah, beliau menyatakan, antara tujuan lawatan murid-murid berkeperluan khas itu adalah untuk meningkatkan semangat dan kemahiran diri mereka dalam berinteraksi dengan orang ramai, dan ia juga adalah sebagai aktiviti sebelum penggal kedua persekolahan yang akan memperkenalkan pembelajaran bertemakan binatang kepada kalangan murid di pusat tersebut.

Antara yang menyertai lawatan ke Parrot Kingdom di Kampung Pandan, Kuala Belait.
Antara yang menyertai lawatan ke Parrot Kingdom di Kampung Pandan, Kuala Belait.
Murid-murid Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam berpeluang melihat secara lebih dekat burung-burung yang terdapat di Parrot Kingdom.
Murid-murid Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam berpeluang melihat secara lebih dekat burung-burung yang terdapat di Parrot Kingdom.

“Sebelum kami memperkenalkan aktiviti seterusnya yang bertemakan ‘binatang’ maka beberapa orang daripada murid sesi pagi ini kami bawa untuk mengenali perkara yang berkaitan rapat dengan tema itu nanti seperti burung, di mana mereka boleh memegangnya, melihatnya dan dihasratkan dapat memberikan keyakinan dan keberanian kepada murid-murid itu,” katanya.

Beliau juga menyatakan, melalui lawatan seperti itu ia dihasratkan untuk dapat membantu murid-murid tersebut dalam meningkatkan keyakinan diri dan berpeluang beramah mesra dengan masyarakat luar sekolah dan sebagainya.

Program seperti itu akan turut diadakan untuk penyertaan murid-murid sesi petang, dengan membawa mereka membuat lawatan ke Bandar Seri Begawan, Khamis ini.

Semasa lawatan tersebut murid-murid berkenaan telah berpeluang melihat secara lebih dekat burung-burung nuri yang cantik dengan bulunya yang beraneka warna, selain turut berpeluang memegang anak-anak burung di taman tersebut. Parrot Kingdom dimiliki oleh sebuah pasangan suami isteri iaitu Pengiran Zulaihi bin Pengiran Besar dan Dayang Aini binti Haji Abdul Rahman.

ARTIKEL YANG SAMA