Defisit fiskal M’sia kurang 3.1 peratus

Defisit fiskal M’sia kurang 3.1 peratus

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Affin Hwang Investment Bank Bhd mengunjurkan defisit fiskal Malaysia dapat dikurangkan sebanyak 0.1 peratus kepada 3.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding 3.2 peratus tahun lepas berikutan peningkatan harga minyak dunia. Defisit fiskal diunjurkan terus dikurangkan kepada 3.0 peratus pada 2017.

Bank pelaburan itu berkata harga minyak dunia semakin pulih sejak mencatat paras terendah dalam tempoh 12 tahun, antara AS$26 dan AS$28 setong pada pertengahan Januari 2016 kepada kira-kira AS$47 setong pada masa ini.

Ia berkata antara Januari dan pertengahan Julai, Brent mentah mencatat purata AS$42 setong dan dijangka kekal sekitar tahap AS$48-US$50 dalam tempoh beberapa bulan berbaki 2016, menjadikan purata setahun penuh kepada sekitar AS$ 45 setong.

“Memandangkan kira-kira 14 peratus daripada pendapatan kerajaan Malaysia bagi 2016 dijangkakan berkaitan minyak, kami percaya pemulihan harga minyak mengurangkan tekanan ke atas kedudukan fiskal negara,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Bank pelaburan itu berkata pada awal bulan Januari, sebagai tindak balas kepada kutipan hasil berkaitan minyak yang rendah selain bagi mengekalkan kedudukan defisit fiskal pada 3.1 peratus daripada KDNK, kerajaan mengambil langkah mengoptimumkan perbelanjaan operasi (OPEX) dan perbelanjaan pembangunan (DE), dengan mengurangkan kos perbelanjaan tidak kritikal, seperti bekalan dan perkhidmatan.

“DE dikurangkan kepada RM46 bilion dan RM45 bilion berdasarkan anggaran purata harga minyak pada AS$35 dan AS$30 setong,” katanya. – Bernama