Defisit RM385 juta diunjur dalam bajet Sarawak 2017

Defisit RM385 juta diunjur dalam bajet Sarawak 2017

KUCHING, 21 Nov – Bajet Sarawak 2017 yang dicadangkan diunjurkan mencatatkan defisit sebanyak RM385 juta. Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata ini merupakan bajet defisit yang pertama selepas 14 tahun berturut-turut mencatatkan bajet lebihan.

“Defisit itu diunjurkan berdasarkan jangkaan pendapatan berjumlah RM5.321 bilion berbanding jumlah perbelanjaan biasa berjumlah sehingga RM5.706 bilion,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 (2017) pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Sejak 2015, katanya jumlah pendapatan negeri mencatat trend penurunan signifikan akibat kejatuhan harga minyak dan gas dan penyusutan nilai Ringgit Malaysia. Pada masa yang sama, katanya jumlah perbelanjaan pula mencatatkan trend meningkat. Adenan berkata dalam menghadapi ekonomi dunia yang lembap tahun depan, adalah penting bagi negeri untuk mempunyai dasar fiskal yang diperluaskan untuk menangani tekanan kemelesetan ekonomi.

“Ini juga untuk memastikan momentum pembangunan di negeri ini diteruskan untuk menyokong pembangunan ekonomi dan luar bandar yang amat diperlukannya, katanya.– Bernama