Dekati belia cemerlang PPB

Dekati belia cemerlang PPB

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semalam telah mengadakan pertemuan dengan penerima-penerima hadiah pelatih terbaik Program Pembangunan Belia (PPB).

Perjumpaan seumpama ini julung-julung kali diadakan dalam rangka kementerian bagi mendekati belia-belia yang telah memanfaatkan dengan cemerlang program-program pembangunan belia anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Dalam pertemuan itu, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa PPB mewujudkan Program Belia Berdikari yang menyediakan bantuan kewangan kepada bekas pelatih yang akan menceburi bidang perniagaan, yang jelas beliau, berdikari iaitu kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa banyak bergantung kepada orang lain atau bekerja sendiri adalah berpotensi untuk lebih berjaya.

Menurut beliau lagi, berdikari membolehkan bekas-bekas pelatih melangkah lebih jauh dengan menguasai berbagai-bagai bidang di mana kerja lebih akan dapat lebih.

Seterusnya, Yang Berhormat Pehin menekankan mengenai Persijilan City and Guilds PPB, yang katanya merupakan manifestasi pemberian pembelajaran terbaik dalam bidang yang mereka diceburi. PPB akan terus menerus mempelbagaikan kursus-kursus untuk memberikan pilihan bidang pekerjaan dan perniagaan lebih luas.

Para pelajar PPB yang cemerlang  bergambar ramai bersama Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
Para pelajar PPB yang cemerlang bergambar ramai bersama Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.

Penerima-penerima hadiah pelatih terbaik PPB bagi Kategori Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan ialah Dayang Siti Musfirazatul @ Musfira binti Mohammad daripada Kursus Asas Kemahiran Teknologi Informasi dan Komunikasi, bagi kategori Program Pembangunan Diri, Awang Ilyas bin Abdul Wahab daripada Kursus Asas Kemahiran Pemasangan Paip Air Domestik, manakala bagi Kategori Program Penempatan Kerja ialah Awang Za’im Arif bin Haji Zamain daripada Kursus Kemahiran Penghawa Dingin dan Pendinginan.

Sementara itu, penerima-penerima hadiah pelatih terbaik bagi Program Jangka Pendek bagi Kategori Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan serta Program Pembangunan Diri ialah Awang Mohd Yudhy @ Danny bin Haji Jumat daripada Kursus Asas Kemahiran Seni Kulinari dan Bankuet & Pastri dan Konfeksionari (Asy-Syifa), dan bagi Kategori Program Penempatan Kerja ialah Dayang Nur Afnizan Nazurah bin Anizam daripada Kursus Autocad III.

Majlis Penyampaian Sijil ke-16 Program Pembangunan Belia dan Program Jangka Pendek Sesi 2014-2015 telah berlangsung semalam di PPB, di ibu Negara.

ARTIKEL YANG SAMA