Deklamasi Puisi Masjid Penanjong

Deklamasi Puisi Masjid Penanjong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Mac – Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Penanjong semalam telah menganjur Majlis Deklamasi Puisi bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-32 di Masjid Kampung Penanjong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penasihat AJK Takmir Masjid Kampung Penanjong, Dato Paduka Haji Ahmad bin Kadi.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, Imam Masjid Kampung Penanjong, Haji Sunaidi bin Haji Kassim.

Haji Sunaidi dalam ucapannya menyatakan bahawa tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menjadikan puisi sebagai khazanah yang tidak boleh dilupakan khusus kepada generasi muda, bagi memperingati perjuangan orang-orang terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan Negara Brunei Darussalam.

Majlis diserikan dengan persembahan Dikir Syarafil Anaam.
Majlis diserikan dengan persembahan Dikir Syarafil Anaam.

Majlis yang merupakan salah satu aktiviti AJK Takmir Masjid Kampung Penanjong diserikan lagi dengan persembahan deklamasi puisi-puisi kemerdekaan yang disampaikan oleh AJK Takmir Masjid Kampung Penanjong, para Jemaah dan penduduk Kampung Penanjong dan diikuti dengan persembahan Dikir Syarafil Anaam.

Sementara itu, majlis juga diselajurkan dengan Majlis Perpisahan Al Fadhil Ustaz Haji Kasim bin Haji Ismail yang akan meninggalkan negara ini.

Beliau telah banyak menabur bakti di Kampung Penanjong di mana beliau merupakan salah seorang tenaga pengajar di masjid tersebut dalam menyampaikan kuliah selepas solat Fardu Magrhib.

Turut hadir pada majlis itu ialah AJK Takmir Masjid Kampung Penanjong, Kumpulan Muslimah Masjid, ahli-ahli dikir dan para Jemaah Masjid Kampung Penanjong.

ARTIKEL YANG SAMA