Deklarasi KL agenda utama 2016 Laos

Deklarasi KL agenda utama 2016 Laos

VIENTIANE, 20 Dis (Bernama) – Laos, yang sedang bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN tahun depan, menjadikan ‘Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2025: Maju Bersama’, yang ditandatangani di Kuala Lumpur baru-baru ini, sebagai agenda utamanya, kata Naib Menteri Luar Alounkeo Kittikhoun.

“Sebagai pengerusi bagi 2016, menerajui pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2025 akan menjadi keutamaan kami untuk menggerakkan rantau ini agar lebih maju ke hadapan.

“Mulai hari pertama menjadi peneraju, kami perlu memastikan semua rangka kerja dan dokumen yang diterima pakai, dilaksanakan dengan sempurna untuk manfaat lebih 600 juta orang di rantau ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini di luar Bengkel Wartawan ASEAN mengenai liputan berkaitan budaya dan tradisi ASEAN anjuran Jawatankuasa ASEAN Kebangsaan Laos bagi Budaya dan Maklumat (COCI).

Sambil berikrar Laos akan bekerja keras untuk menjadikan blok 10 anggota itu wilayah “berpaksikan rakyat”, Kittikhoun berkata kedudukan sebagai pengerusi ASEAN mempunyai ‘makna istimewa’ kerana Laos akan mengambil alihnya daripada Malaysia, negara di mana tercatatnya peristiwa bersejarah Komuniti ASEAN (AC) dilancarkan dan Wawasan Komuniti ASEAN 2025 diterima pakai.

Laos memilih tema ‘Mengubah Wawasan Menjadi Kenyataan Demi Komuniti ASEAN Yang Dinamik’ bersempena kedudukannya sebagai pengerusi ASEAN 2016. Laos, yang diterima menjadi anggota penuh ASEAN pada Julai 1997, pernah menjadi pengerusi pertubuhan serantau ini pada 2004.

Kittikhoun juga berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan 29 di sini tahun depan akan diadakan secara berturut-turut dari 6 hingga 8 September, bukan pada Oktober atau November.

“Oleh kerana pilihan raya presiden Amerika Syarikat akan diadakan pada November, dan setelah berbincang dengan semua pemimpin negara anggota serta rakan dialog, kami bersetuju mengadakan dua sidang kemuncak secara berturut-turut,” katanya.

Menurut beliau, sebagai pengerusi ASEAN 2016, Laos juga akan memberi fokus terhadap usaha merapatkan jurang pembangunan dalam kalangan semua negara anggota ASEAN, dengan memperkemaskan rangka kerja Inisiatif bagi Integrasi ASEAN (IAI).

“Kami akan pastikan ASEAN akan mempunyai fasa baharu IAI kerana rangka kerja ini akan membantu merapatkan lagi jurang dalam ASEAN,” katanya sambil menjelaskan bahawa ia juga bertujuan memastikan manfaat daripada Komuniti ASEAN dikongsi semua negara anggota pertubuhan itu.

Dilancarkan pada 2000, IAI bertujuan menyediakan sokongan dan mempercepatkan pengintegrasian Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (CLMV), negara anggota ASEAN baharu dan kurang maju.

Kittikhoun bagaimanapun berkata, di samping teruja untuk menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN tahun depan, Laos juga berdepan dengan cabaran berikutan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang akhir tahun.

“Bagi sebuah negara kurang maju dan dikelilingi daratan seperti Laos, perusahaan kecil dan sederhana (SME) kami akan menghadapi saingan sengit. Untuk merebut manfaat daripada penubuhan AEC, SME kami perlu menambah baik perniagaan untuk membolehkan mereka berjaya dalam persaingan,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, mesyuarat dan seminar yang diadakan antara kerajaan Laos dan sektor swasta serta kewujudan mekanisme yang berkesan antara kedua-dua pihak, boleh membantu Laos menembusi pasaran ASEAN secara lebih meluas.

“Kami sudah menyediakan satu mekanisme di mana sektor swasta dapat menyuarakan dan mengemukakan syor, manakala kerajaan pula akan menyediakan rangka kerja yang mungkin diperlukan sektor swasta untuk bersaing,” katanya.

Apabila tertubuh kelak, AEC akan mempunyai gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir AS$3 trilion untuk muncul sebagai pasaran tunggal dan menjadi ekonomi ketujuh terbesar global.

Mengenai persiapan Laos untuk menduduki kerusi pengerusi ASEAN 2016, Kittikhoun berkata, negara itu sudah bersedia dari segi logistik dengan pembinaan beberapa hotel baharu yang dijangka siap untuk digunakan ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN serta mesyuarat berkaitan.