Del Bosque bersara tidak lama lagi

Del Bosque bersara tidak lama lagi

MADRID, 23 Dis (AFP) – Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque mengesahkan kelmarin bahawa persaraannya sudah ‘hampir’ dan Kejohanan Eropah tahun depan adalah kejohanan terbesar terakhir yang mungkin disertainya.

Bagaimanapun, bercakap dalam majlis pelancaran bukunya Winning and Losing di ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) dekat sini, Del Bosque berkata dia akan mengadakan perbincangan sebelum membuat keputusan akhir.

“Persaraan saya kian hampir. Jika semuanya berjalan seperti dirancang ia akan menjadi penamatnya,” katanya mengenai Euro 2016, di mana pasukannya akan berusaha untuk memenangi­nya untuk kali ketiga.

“Tetapi motif buku ini (ditulis) bukan untuk mengucapkan selamat tinggal kerana masih ada enam bulan sebelum Euro dan banyak perkara akan berlaku.

Bosque mengesahkan sudah menghampiri persaraan selepas kejohanan Euro 2016 berakhir. – Reuters
Bosque mengesahkan sudah menghampiri persaraan selepas kejohanan Euro 2016 berakhir. – Reuters

“Saya adalah individu dalam persatuan dan saya perlu bercakap dengan mereka sebelum membuat apa-apa keputusan akhir,” katanya lagi.

Di dalam bukunya, Del Bosque menyatakan bahawa dia akan bersara selepas kejohanan di Perancis itu, yang akan berlangsung pada Jun dan Julai tahun hadapan selepas membimbing La Roja sejak 2008.

Del Bosque, yang mengambil alih Sepanyol daripada Luis Aragones selepas La Roja muncul juara Euro 2008, adalah jurulatih paling popular di Sepanyol terutama apabila berjaya membantu pasukan itu menjadi juara Piala Dunia 2010 dan mempertahankan kejuaraan Euro dua tahun selepas itu.

Sepanyol mampu menjadi pasukan paling berjaya di Eropah andai dapat mengekalkan kejuaraan Euro 2016.