Del Bosque puji aksi pemain

Del Bosque puji aksi pemain

MOSCOW, 16 Jun (Reuters) – Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque meraikan perlawanan ke-100 kendaliannya dengan memuji pemainnya selepas menang tipis 1-0 ke atas Belarus pada aksi kelayakan Euro 2016 di Borisov, awal pagi semalam.

“Saya gembira dengan persembahan kami kerana kami menguasai hampir keseluruhan perlawanan,” jelas pengendali berusia 64 tahun itu, pengurus pertama Sepanyol mencatat rekod itu.

“Ia perlawanan sukar buat kami tapi kami berjaya meraih tiga mata penting, yang membantu untuk merebut tempat ke Kejohanan Eropah. Ada tiga pasukan cuba melayakkan diri.”

Kemenangan itu membolehkan juara Eropah, Sepanyol mengekalkan kedudukan di tangga kedua Kumpulan C dengan 15 mata daripada enam perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu kumpulan Slovakia dan tiga mata di depan Ukraine.

Dua pasukan teratas layak secara automatik ke pusingan akhir di Perancis dengan pasukan tangga ketiga perlu melepasi play-off.

Ditanya mengenai pencapaiannya 100 perlawanan sebagai pengurus, Del Bosque tidak begitu kisah.

“Perlawanan ke-100 saya mengendalikan pasukan ini? Ia satu perjalanan panjang dan kami sudah meraih segala-galanya, baik dan buruk. Kami akan lihat apa yang menanti kami selepas ini,” ujarnya.

Penjaring gol David Silva, yang meledak sebelum rehat babak pertama, menyanjung pencapaian Del Bosque.

“Jurulatih sudah meraih banyak perkara hebat bersama kami dan saya yakin kami akan terus meraih kegemilangan bersamanya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA