Del Bosque sedia tinggalkan La Roja

Del Bosque sedia tinggalkan La Roja

MADRID, 19 Julai – Tiada sebarang kekesalan di hati ketua jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque ketika dia bersedia untuk melepaskan jawatannya pada penghujung bulan ini selepas lapan tahun mengemudi pasukan itu yang menjuarai Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.

Khidmat Del Bosque di Sepanyol berakhir selepas penyingkiran skuad bimbingannya kepada Itali dalam Euro 2016 di peringkat 16 terakhir dan dia akan meninggalkan jawatannya selepas kontraknya berakhir 31 Julai ini.

Persekutuan Bola Sepak Sepanyol dijangka akan melantik penggantinya sejurus selepas tarikh terbabit, dengan bekas pengurus Athletic Bilbao dan Sevilla, Joaquin Caparros antara calon pilihan bagi tugas terbabit.

Del Bosque menikmati permulaan ‘impian’ selaku pengganti kepada Luis Aragones yang menjuarai Euro 2008 dengan membimbing Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan dan mengekalkan trofi Euro, dua tahun kemudian.

Sepanyol kemudian berdepan penyingkiran mengejutkan di peringkat kumpulan Piala Dunia 2014 di Brazil dan tewas 2-0 kepada Itali di Perancis di peringkat kalah mati Euro 2016.

Del Bosque akan meninggalkan La Roja 31 Julai ini. – AP
Del Bosque akan meninggalkan La Roja 31 Julai ini. – AP

Ketika ditanya sama ada ada sebarang kekesalan di hatinya, pengurus berusia 65 tahun itu berkata: “Tidak, untuk berkata jujur, tidak ada. – Agensi

“Saya tidak berkata yang saya melepaskan jawatan dengan melengkapkan segala tugasan yang diberikan, kerana kami tahu ia adalah mustahil untuk dicapai.

“Untuk memenangi satu lagi Piala Dunia dan satu lagi Euro tampak seperti mustahil. Saya pergi dengan perasaan tidak merasa sebarang kekurangan di akhirnya,” kata Del Bosque memetik kenyatannya dalam laman web Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) www.fifa.com.

Del Bosque juga menafikan regimnya bersama Sepanyol berakhir dengan nota kecewa.

“Ada sedikit daripada segala-galanya. Kami mempunyai peluang untuk memenangi semuanya, namun kami juga berdepan kekalahan. Itulah sukan.

“Namun saya keluar dengan hati yang terbuka dan perasaan yang saya sudah memenuhi kewajipan saya untuk bola sepak Sepanyol.” – Agensi