Del Potro bantu Argentina julang Piala Davis

Del Potro bantu Argentina julang Piala Davis

ZAGREB, 28 Nov – Karier tenis Juan Martin Del Potro dianggap seperti telah berakhir apabila mengalami kecederaan pergelangan tangan buat kali kedua memaksanya berehat panjang pada tahun 2014.

Namun pemain Argentina itu menikmati saat paling hebat dalam kariernya awal pagi tadi apabila berjaya membantu negaranya menjulang trofi Piala Davis buat pertama kali.

Pemain 28 tahun dari Tandil itu, yang mula dibelenggu kecederaan sejak tahun 2010, bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menundukkan Marin Cilic dari Croatia 6-7(4) 2-6 7-5 6-4 6-3 dan kembali mengikat kedudukan pada final menentang negara Balkan itu.

Mendapat sokongan padu ribuan penyokong setia yang mengembara ke Zagreb Arena, Federico Delbonis memastikan kejuaraan buat Argentina selepas menewaskan Ivo Karlovic pada perlawanan penentuan.

Bagaimanapun Del Potro memainkan peranan penting dalam kebangkitan Argentina, di mana selepas menewaskan Cilic dia mendedahkan, yang dia bermain dengan jari patah sepanjang set kelima dan hampir bersara ketika berehat panjang akibat kecederaan sebelum ini.

“Jari saya patah tetapi saya tidak kisah asalkan kami memenangi Piala Davis,” kata Del Potro. “Ia berlaku ketika set kelima apabila saya cuba membalas servis Cilic yang kemudiannya keluar.

“Ia adalah perlawanan yang cukup beremosi dan salah satu kemenangan terbesar dalam karier saya. Terima kasih kepada mereka yang menghalang saya daripada bersara. Saya begitu hampir untuk tidak bermain semula, tetapi saya masih di sini.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA