Del Potro kembali hayun raket

Del Potro kembali hayun raket

BUENOS AIRES, 4 Feb – Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat, Juan Martin del Potro yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan mengumumkan untuk kembali ke gelanggang di Delray Beach, Florida bermula dari 15 Februari ini.

Del Potro, 27, dikenali ramai selepas menewaskan Roger Federer untuk menjulang trofi Terbuka AS pada 2009 dalam laluannya menduduki ranking keempat dunia.

Tetapi dia dihantui kecederaan pergelangan tangan sejak itu, sekali gus memaksanya menjalani tiga pembedahan.

“Saya mahu berkongsi saat ini dan kegembiraan yang saya rasa apabila dapat kembali beraksi di gelanggang sekali lagi selepas terlalu lama,” kata Del Potro dalam satu mesej video yang dimuat naik di laman sosial Facebook. Del Potro hanya beraksi dalam tiga kejohanan pada 2014 dan dua pada 2015, dengan kali terakhir di Miami pada Mac lalu.

Ranking dunia pemain itu kini menjunam ke kedudukan 1,041 dan dalam tempoh gelap itu dia mengakui hampir bersara.

Juan Martin del Potro yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan pergelangan tangan mengumumkan untuk kembali ke gelanggang di Delray Beach. – Reuters
Juan Martin del Potro yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan pergelangan tangan mengumumkan untuk kembali ke gelanggang di Delray Beach. – Reuters

“Dalam ketidaktentuan, dan semua saat buruk yang terpaksa dilalui, menjadikan perasaan saya sering berubah-ubah.

Ia detik yang sangat sukar menyebabkan anda berfikir untuk menyerah,” kata pemenang 18 gelaran jelajah itu.

“Tetapi di sekeliling saya ada orang yang baik yang tidak mahu saya terus tersungkur jatuh.

Mereka berada pada saat yang tepat, memberi sokongan dan menolong saya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA