Delegasi 10 firma AS tingkat penyatuan ekonomi ASEAN

Delegasi 10 firma AS tingkat penyatuan ekonomi ASEAN

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) – Satu delegasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asia Pasifik dan 10 syarikat utama Amerika Syarikat (AS) akan tiba di Kuala Lumpur pada Khamis untuk memulakan siri pertemuan yang bertumpukan kepada pelaburan perniagaan jangka panjang AS di sini dan menyokong usaha untuk meningkatkan penyatuan ekonomi ASEAN.

Majlis Perniagaan AS-ASEAN dalam satu kenyataan hari ini berkata delegasi pegawai kanan itu akan melawat Indonesia dan Malaysia untuk menemui para pegawai kanan perniagaan dan kerajaan dalam pelbagai perkhidmatan.

Ia berkata syarikat yang menyertai delegasi itu yang sudah pun membuat pelaburan besar di Malaysia dan menyediakan beribu-ribu pekerjaan, kini merancang atau menimbang untuk membuat pelaburan baharu bernilai lebih AS$500 juta (RM1.78 bilion) dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Delegasi itu juga dijangka menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata kenyataan itu.

Naib Presiden Majlis Perniagaan AS-ASEAN bagi Dasar Marc Mealy berkata delegasi itu menyokong penuh Wawasan 2020 Malaysia yang bermatlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, selain peranannya selaku Pengerusi ASEAN tahun ini bagi melancarkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Majlis itu dan pelabur AS juga yakin ke atas ekonomi Malaysia yang berkembang dan liberalisasi ekonomi yang berterusan, katanya dalam kenyataan itu dan menambah perjanjian perdagangan seperti Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) juga akan memberi Malaysia akses kepada peluang besar di kedua-dua belah Pasifik. Majlis itu berkata misi itu bertujuan menawarkan sokongan perniagaan AS dalam bidang utama penyatuan, termasuk mengharmonikan kawal selia dan memulihkan semula Inisiatif e-ASEAN untuk menjamin kedudukan ASEAN sebagai hab ICT.

Dianjurkan oleh Majlis Perniagaan AS-ASEAN, misi itu juga bertujuan menawarkan pembangunan modal insan seperti latihan dan pembangunan PKS menerusi Pakatan Perniagaan AS-ASEAN untuk PKS Kompetitif, projek bersama Majlis itu dan Agensi AS bagi Pembangunan Antarabangsa (USAID).

Delegasi itu termasuk syarikat dari ACE Group, Cigna, Coca-Cola Company, DuPont, GE, Intel, Medtronic, Monsanto dan Procter & Gamble.