Delegasi ASEAN kenali budaya negara

Delegasi ASEAN kenali budaya negara

Oleh Faridah Haji Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin telah menerima kunjungan rombongan seramai 60 orang yang terdiri daripada pegawai diplomatik, pegawai kanan, pensyarah dan guru pelatih dari negara-negara anggota ASEAN yang sedang mengikuti Program Bahasa Inggeris 11 Minggu di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Lawatan tersebut antara lain bertujuan untuk memperkenalkan seni dan kebudayaan Negara Brunei Darussalam di samping menggalakkan perkongsian maklumat dan pertukaran pendapat dalam bidang kebudayaan dan kesenian.

Ia juga sebagai inisiatif yang menjurus kepada peningkatan kefahaman terhadap kepentingan dalam mempromosi dan menghargai kepelbagaian budaya.

Pada sebelah pagi, rombongan telah mendengar taklimat mengenai pengenalan Bahagian Kebudayaan dan Kesenian dan adat resam Negara Brunei Darussalam sebelum menyaksikan demonstrasi menambat dastar dan menapih sinjang, tarian tradisional Brunei dan mengikuti bengkel muzik serta nyanyian tradisional Brunei.

Sementara itu, pada sebelah petang, lawatan diteruskan lagi dengan latihan tarian dan nyanyian di mana delegasi tersebut berpeluang untuk mempelajari seni tarian dan nyanyian tradisional Brunei, sebelum diakhiri dengan persembahan kesenian Brunei yang telah dipelajari.

Delegasi ASEAN mempelajari bengkel musik tradisional.
Delegasi ASEAN mempelajari bengkel musik tradisional.
Persembahan Tarian Samalindang delegasi ASEAN.
Persembahan Tarian Samalindang delegasi ASEAN.

Ketua Jurulatih Kesenian, Bahagian Kebudayaan dan Kesenian KKBS, Awang Shahminan bin Haji Mohd Yasin, semasa ditemui meluahkan perasaan bangga dengan pencapaian ahli-ahli rombongan, kerana walaupun bukan daripada bidang kebudayaan dan kesenian, mereka mampu mempelajarinya dalam beberapa jam dan mempraktikkannya dengan membuat persembahan.

Beliau turut menyatakan aktiviti sebegini merupakan salah satu usaha bagi memberigakan pendedahan dan pengetahuan tentang kesenian khazanah warisan budaya kitani bukan saja kepada negara sendiri tapi diperkenalkan juga kepada negara-negara ASEAN bertepatan dengan moto ASEAN, ‘Satu Wawasan, Satu Identiti, Satu Komuniti’.

Sementara itu, wakil-wakil rombongan yang ditemui telah mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, kerana memberi mereka peluang untuk mempelajari tentang kesenian dan kebudayaan Negara Brunei Darussalam menerusi bengkel itu.

Menurut mereka, peluang ini sangatlah berharga walaupun dalam masa yang singkat, mereka mampu menunjukkan bakat dan membuat persembahan.

Delegasi telah mempersembahkan tiga tarian iaitu Jipin Lela Sembah, Samalindang dan Joget Baju Putih, manakala itu, antara lagu yang dipersembahkan ialah Dang Mengalai.

ARTIKEL YANG SAMA