Delegasi Brunei kunjungi Swansea University

Delegasi Brunei kunjungi Swansea University

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Delegasi Brunei Darussalam, baru-baru ini, telah mengadakan lawatan ke kampus Swansea University, United Kingdom (UK), yang mengukuhkan lagi hubungan rapat di antara universiti berkenaan dengan Brunei.

Delegasi berkenaan disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke UK, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Hajii Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan pasukan daripada atase kedutaan di UK, iaitu Pengarah Pengajian, Awang Ahmad Faisal bin Haji Zainal Abidin; Penyelaras Bersama Akademik, Dayang Siti Huzaimah binti Haji Jahari; Pegawai Kebajikan, Dayang Jauyah binti Tuah dan Setiausaha Ketiga, Awang Suhara Fadzali bin Haji Yussof.

Ketibaan delegasi telah dialu-alukan oleh Naib Canselor Swansea University, Profesor Richard B Davies.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh universiti berkenaan, delegasi telah melawat Institusi Penyelidikan Keselamatan Tenaga universiti berkenaan yang memfokuskan ke atas isu-isu keselamatan dalam pembangunan dan pengembangan pemprosesan tenaga, serta pengerahan dan pengintegrasian selamat teknologi-teknologi tenaga ‘hijau’ yang baru.

Mereka juga telah mengunjungi Sekolah Perubatan universiti tersebut, yang berada di kedudukan 10 terbaik UK dan terbaik bagi penyelidikan alam sekitar.

Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bersama Profesor Richard B Davies.
Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bersama Profesor Richard B Davies.

Di samping bertemu pegawai-pegawai kanan dari universiti berkenaan, termasuk pendaftar dan ketua-ketua kolej, delegasi juga telah meluangkan masa beramah mesra bersama 24 orang pelajar Brunei yang sedang melanjutkan pengajian di universiti tersebut. Mereka juga melawat masjid kampus untuk menunaikan solat.

Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan mengukuhkan lagi hubungan sedia ada di antara Swansea University dan Brunei.

Satu cadangan yang kini sedang dibincangkan oleh pegawai-pegawai kanan di Swansea dan Brunei adalah bagi kerjasama di antara Universiti Brunei Darussalam dan Swansea University mengenai melanjutkan kerja Institut Penyelidikan Keselamatan Tenaga.

Ini dan kemungkinan usaha sama lain menunjukkan bahawa hubungan di antara Brunei dan Swansea University berkemungkinan menjadi lebih kukuh pada masa depan.

ARTIKEL YANG SAMA