Delegasi Hiroshima diraikan

Delegasi Hiroshima diraikan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Satu delegasi seramai 19 orang anggota Perhimpunan Wilayah Hiroshima, Jepun yang dalam lawatan selama dua hari ke negara ini telah diraikan dalam Majlis Makan Malam di Kediaman Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki, di Kampung Sungai Tilong.

Turut hadir ialah ahli-ahli Persatuan Persahabatan Brunei-Jepun (BJFA), Dato Paduka Haji Hamdillah bin Haji Abdul Wahab, Dato Paduka Haji Mohd Adnan bin Haji Buntar dan Haji Mohd Husini Bakar serta komuniti Jepun di Brunei.

Antara lain tujuan majlis berkenaan diadakan ialah untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Jepun, khususnya Perhimpunan Wilayah Hiroshima dengan Brunei.

Delegasi berkenaan merupakan ahli-ahli Jawatankuasa Penyelidikan ASEAN dari Perhimpunan Wilayah Hiroshima. Sejak penubuhannya pada 2009 dengan tujuan meningkatkan persahabatan dan pertukaran antara wilayah dan negara-negara anggota ASEAN, jawatankuasanya telah melawat beberapa buah negara ASEAN setiap tahun, dan tahun ini, mereka telah memilih untuk melawat Brunei Darussalam dan Thailand.

Antara para delegasi yang hadir pada majlis berkenaan.
Antara para delegasi yang hadir pada majlis berkenaan.
Puan Yang Terutama Noriko Iki bergambar ramai bersama ketua rombongan delegasi dan ahli-ahli Persatuan BJFA.
Puan Yang Terutama Noriko Iki bergambar ramai bersama ketua rombongan delegasi dan ahli-ahli Persatuan BJFA.

Puan Yang Terutama Noriko Iki berkata bahawa nama ‘Hiroshima’ terkenal di seluruh dunia bagi sejarah malangnya yang disebabkan oleh pengguguran bom atom di Bandar Raya Hiroshima, ibu negara wilayah berkenaan, pada 6 Ogos 1945.

Beliau menambah, dengan Jepun menjadi satu-satunya negara di dunia yang telah mengalami pengguguran bom atom, salah satu daripada agenda utama diplomasi Jepun adalah untuk merealisasikan ‘dunia tanpa senjata nuklear’.

Oleh itu, salah satu tujuan lawatan rombongan itu ke Brunei adalah untuk menyampaikan mesej mengenai keburukan perang serta kepentingan keamanan kepada belia Brunei dengan berkongsi mengenai pengalaman dialami rakyat Hiroshima yang amat buruk 70 tahun yang lalu.

“Brunei adalah tempat tinggal yang aman dan ia sememangnya aman, tetapi keamanan tidak boleh diambil mudah. Ia memerlukan usaha yang amat besar dalam mengekalkan keamanan.

“Jepun dan Brunei telah bekerjasama bagi tujuan tersebut di rantau dan peringkat antarabangsa, dan akan terus berusaha untuk berbuat demikian. Satu contoh kerjasama itu adalah resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai jumlah penghapusan senjata nuklear, yang telah dirangka dan dicadangkan oleh Jepun setiap tahun sejak tahun 1994, dan diterima dengan sokongan majoriti besar masyarakat antarabangsa termasuk Brunei,” jelas Puan Yang Terutama.

Semasa di Brunei, delegasi itu akan melawat Sekolah Rendah Haji Tarif di Kampong Ayer, di mana delegasi akan berkongsi dengan pelajar tempatan mengenai kenangan pahit mereka iaitu malapetaka yang disebabkan oleh bom atom.

Wilayah Hiroshima adalah salah satu daripada 47 wilayah di Jepun yang terletak di bahagian barat negara berkenaan. Wilayah itu, dengan penduduknya yang berjumlah kira-kira 2.8 juta, kaya dengan tarikan pelancong yang indah, termasuk dua tapak Warisan Dunia, iaitu Kubah Bom Atom dan tempat suci Itsukushima Shinto yang telah menarik lebih sejuta pelancong luar negara setiap tahun.

Wilayah ini juga menempatkan Mazda Motor Corporation, menjadikan automobil sebagai industri utama di wilayah ini. Pada masa yang sama, kekayaan sumber semula jadi wilayah berkenaan membolehkan industri pertanian dan perikanan turut berkembang.