Delegasi ICAPP gesa tubuh Kesatuan Ekonomi Asia

Delegasi ICAPP gesa tubuh Kesatuan Ekonomi Asia

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Kepesatan pertumbuhan ekonomi Asia serta penguasaannya dalam ekonomi global hanya membuktikan kewajaran penubuhan gagasan Kesatuan Ekonomi Asia, kata wakil Parti Hati Nurani Rakyat Indonesia.

Timbalan Setiausaha Agung Pembangunan Kumpulan Kader parti itu, Pradana Indraputra berkata Asia boleh mewujudkan blok ekonomi menyamai Kesatuan Eropah (EU) bagi kelancaran pergerakan perdagangan dan modal insan secara bebas, sekaligus meningkatkan pembangunan ekonomi serantau.

“Kedudukannya sebagai pasaran dan pangkalan pengeluaran terbesar dunia tidak menjadikan Asia suatu kuasa paling dominan. Kita perlu mengukuhkan kerjasama bagi pembangunan ekonomi.

“Kita perlu mempertingkat kerjasama erat bagi aspek (pelaksanaan) dasar makroekonomi yang lebih baik, memansuhkan kawal selia atau mengurangkan sekatan perdagangan selain menggalakkan lebih banyak pemindahan teknologi di rantau ini,” katanya kepada Bernama di luar acara sesi pleno keempat Perhimpunan Agung Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) Ke-9 di sini, hari ini. – Bernama