Delegasi Jepun teroka bidang kerjasama

Delegasi Jepun teroka bidang kerjasama

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Delegasi seramai lapan orang anggota Perhimpunan Wilayah Miyazaki Jepun hari ini mengadakan lawatan muhibah dan juga mesyuarat ke Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan untuk mengetahui mengenai portfolio dan meneroka bidang-bidang kerjasama di antara kedua-dua buah negara, yang mengambil kira bahawa Jepun dan Brunei merupakan ahli Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), yang dijangka berkuat kuasa dalam masa terdekat.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Juga hadir di majlis berkenaan ialah Duta Besar Negara Jepun ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki.

Wilayah Miyazaki adalah salah satu daripada 47 buah wilayah Jepun dan terletak di barat daya pulau Kyushu.

Ia mempunyai seramai 1.1 juta orang penduduk dan ekonominya terdiri daripada bahagian besar industri-industri utama, seperti pertanian, perikanan dan perhutanan, berbanding mana-mana wilayah lain di Jepun.

Puan Tang Terutama Noriko Iki (dua dari kiri) bersama delegasi berkenaan di mesyuarat tersebut.
Puan Tang Terutama Noriko Iki (dua dari kiri) bersama delegasi berkenaan di mesyuarat tersebut.

Pada masa yang sama, dengan kekayaan sumber air yang mempunyai ketulenan tinggi, membolehkannya menghoskan industri-industri berteknologi tinggi, sekali gus menguasai pasaran dunia terbesar bagi beberapa produknya.

Selain daripada itu, wilayah ini juga menempatkan banyak industri pengeluaran daripada sel solar lapisan nipis CIS (copper indium gallium selenide), yang jumlah penghasilannya di wilayah itu adalah antara yang terbesar di dunia, dan semikonduktor hingga peralatan perubatan dan produk-produk bio perubatan.

Wilayah ini juga meletakkan pelancongan sebagai industri keutamaannya, dengan cuacanya yang panas dan berdekatan dengan negara-negara Asia seperti Korea Selatan.

Puan Yang Terutama Noriko Iki, berkata, industri perikanan dan penjana kuasa solar adalah sebahagian daripada bidang-bidang kerjasama yang berpotensi di antara Brunei dan Miyazaki.

Dalam hubungan ini, ujar beliau, kerajaan Jepun akan menjemput sekumpulan penuntut dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (ITBE) yang terlibat dalam perikanan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Perikanan untuk mengunjungi Jepun pada Februari 2016 melalui skim pertukaran belia yang digelar JENESYS sebagai sebahagian daripada usaha Jepun untuk menyumbangkan kepada kepelbagaian ekonomi Brunei selaras dengan Wawasan 2035.