Delegasi KPKD Jordan lawat Brunei

Delegasi KPKD Jordan lawat Brunei

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Kementerian Pertahanan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Delegasi dari Kolej Pertahanan Kebangsaan Diraja (KPKD) Jordan kini berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan sambil belajar selama lima hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, delegasi yang diketuai oleh Brigedier Jeneral Salah Almajali itu telah mengadakan kunjungan muhibah kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah di Bolkiah Garison.

Semasa kunjung itu, kedua-dua belah pihak menyatakan rasa puas hati atas kerjasama pertahanan dua hala dan turut membincangkan mengenai prospek bagi mengukuhkan lagi kerjasama itu.

Delegasi KPKD Jordan bergambar ramai bersama Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih di Bolkiah Garison kelmarin.
Delegasi KPKD Jordan bergambar ramai bersama Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih di Bolkiah Garison kelmarin.

Kedua-dua belah pihak juga bertukar-tukar pandangan berhubung dengan cabaran-cabaran sekuriti serantau di Asia Tenggara dan juga di Timur Tengah.

Kenyataan menyatakan delegasi itu turut mendengar taklimat mengenai fungsi dan peranan Kementerian Pertahanan dan ABDB serta mengenai dasar pertahanan negara ini.

Delegasi itu yang juga merangkumi para peserta kursus dari Jordan, Arab Saudi dan Palestin akan mengadakan lawatan ke kementerian-kementerian dan agensi kerajaan sebagai sebahagian daripada lawatan sambil belajar mereka.

ARTIKEL YANG SAMA