Delegasi Miyazaki tinjau peluang di Brunei

Delegasi Miyazaki tinjau peluang di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Satu delegasi lapan orang ahli Perhimpunan Wilayah Miyazaki, Jepun akan membuat kunjungan ke Negara Brunei Darussalam bermula esok sehingga 16 Januari depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun di sini, ketika berada di Brunei, delegasi berkenaan dijadualkan akan melawat agensi-agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan untuk mengetahui mengenai portfolio dan meneroka bidang-bidang kerjasama di antara kedua-dua buah negara, dengan mengambil kira bahawa Jepun dan Brunei merupakan ahli Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), yang dijangka akan berkuat kuasa pada masa terdekat.

Wilayah Miyazaki adalah salah satu daripada 47 buah wilayah Jepun dan terletak di barat daya pulau Kyushu.

Ia mempunyai seramai 1.1 juta orang penduduk dan ekonominya terdiri daripada bahagian besar industri-industri utama, seperti pertanian, perikanan dan perhutanan, berbanding mana-mana wilayah lain di Jepun.

Pada masa yang sama, dengan kekayaan sumber air yang mempunyai ketulenan tinggi, membolehkannya menghoskan industri-industri berteknologi tinggi, sekali gus menguasai pasaran dunia terbesar bagi beberapa produknya.

Puan Yang Terutama Noriko Iki.
Puan Yang Terutama Noriko Iki.

Selain daripada itu, wilayah ini juga menempatkan banyak industri pengeluaran daripada sel solar lapisan nipis CIS (copper indium gallium selenide), yang jumlah penghasilannya di wilayah itu adalah antara yang terbesar di dunia, dan semikonduktor hingga peralatan perubatan dan produk-produk bio perubatan.

Wilayah ini juga meletakkan pelancongan sebagai industri keutamaannya, dengan cuacanya yang panas dan berdekatan dengan negara-negara Asia seperti Korea Selatan.

Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki, yang juga berasal dari pulau Kyushu, berkata bahawa pulau itu, termasuk Wilayah Miyazaki, kaya dengan alam semula jadi dan makanannya.

“Terdapat banyak gunung berapi di pulau itu oleh itu banyak mata air panas. Ia merupakan destinasi percutian yang popular bukan sahaja bagi rakyat Jepun sendiri tetapi juga dari negara-negara jiran Asia seperti Korea dan China.

“Kami berharap untuk melihat lebih ramai rakyat Brunei berkunjung ke pulau itu. Terdapat banyak penerbangan langsung dari bandar-bandar utama Asia Tenggara seperti Singapura dan Bangkok ke Fukuoka, bandar utama di pulau Kyushu,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan bahawa industri perikanan dan penjana kuasa solar adalah sebahagian daripada bidang-bidang kerjasama yang berpotensi di antara Brunei dan Miyazaki.

Dalam hubungan ini, ujar beliau, kerajaan Jepun akan menjemput sekumpulan penuntut dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (ITBE) yang terlibat bersama para pegawai dari Jabatan Perikanan untuk mengunjungi Jepun pada Februari 2016 melalui skim pertukaran belia yang digelar JENESYS sebagai sebahagian daripada usaha Jepun untuk menyumbangkan kepada kepelbagaian ekonomi Brunei selaras dengan Wawasan 2035.

ARTIKEL YANG SAMA