Delegasi negara hadiri Mesyuarat ASEAN COCI

Delegasi negara hadiri Mesyuarat ASEAN COCI

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Negara Brunei Darussalam terus menunjukkan komitmennya dalam Mesyuarat ke-50, Komiti ASEAN mengenai Kebudayaan dan Penerangan (ASEAN COCI) yang telah berlangsung pada 10 dan 11 November di Surabaya, Indonesia.

Mesyuarat ke-50 itu telah mempertimbangkan dan meluluskan cadangan-cadangan projek bagi tahun kewangan 2016 bagi kedua-dua sub-komiti dari negara-negara anggota ASEAN.

Dalam mesyuarat itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, Negara Brunei Darussalam telah mengetengahkan beberapa projek, iaitu ‘Completing ASEAN Sculptures at Taman Damuan in Preparation for ASEAN City of Culture’ daripada Sub-Komiti ASEAN-COCI dalam Bidang Kebudayaan (SCC) manakala ‘ASEAN Television News: Integrates, Informs, Inspires’, ‘Voice of ASEAN – Beyond Boundaries (VoABB)’ dan ‘The Development of “We ASEAN” Application on Mobile Phone’ daripada Sub-Komiti ASEAN-COCI dalam Bidang Penerangan (SCI).

Projek-projek yang telah dipertimbangkan itu dan projek-projek yang telah dilaksanakan pada tahun kewangan 2015 dijangka akan terus menerus memperlihatkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam mendokong aspirasi ASEAN ke arah Komuniti ASEAN pada tahun 2015 melalui cabang Kebudayaan dan Penerangan, menurut kenyataan itu lagi.

Mesyuarat dua hari itu, telah didahului dengan Mesyuarat-mesyuarat Sub-Komiti ASEAN-COCI dalam Bidang Kebudayaan (SCC) dan Sub-Komiti ASEAN-COCI dalam Bidang Penerangan (SCI) yang telah diadakan serentak pada 9 November.

Rombongan delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat ASEAN-COCI di Surabaya, Indonesia.
Rombongan delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat ASEAN-COCI di Surabaya, Indonesia.

Manakala itu, satu mesyuarat tidak rasmi di antara ketua-ketua delegasi ASEAN-COCI dan pengerusi-pengerusi SCC dan SCI telah diadakan pada 8 November 2015.

Pembukaan rasmi mesyuarat disempurnakan oleh Gabenor Jawa Timur, Dr. Soekarwo S.H. M. Hum, yang telah diwakili oleh Penasihat Kanan Gabenor Jawa Timur mengenai Program Pembangunan, Agus Wahyudi, sementara itu, Mesyuarat ASEAN-COCI dipengerusikan oleh Pengerusi Kebangsaan ASEAN-COCI Indonesia, Kacung Marijan.

Delegasi ke mesyuarat itu turut diraikan dalam Majlis Makan Malam Gala yang dihoskan oleh Pemangku Datuk Bandar Surabaya, Nurwiyatno dengan dihadiri oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Republik Indonesia, Dr. Anies Rasyid Baswedan.

Delegasi Brunei Darussalam ke mesyuarat tersebut diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Noor Jusmin bin Haji Abd Samad, selaku Pengerusi Kebangsaan ASEAN-COCI Negara Brunei Darussalam dan disertai oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad, selaku Pengerusi Sub-Komiti ASEAN-COCI dalam bidang Penerangan; Pemangku Penolong Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), KKBS, Haji Mohammad Abdoh bin Haji Awang Damit selaku Timbalan Pengerusi Sub-Komiti ASEAN-COCI dalam Bidang Kebudayaan dan para pegawai dari Jabatan Penerangan serta Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB).

ASEAN-COCI mempunyai laman sesawang yang boleh diakses melalui http://cultureandinformation.asean.org bagi orang ramai mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai aktiviti ASEAN-COCI selaras dengan tujuan portal yang dilancarkan pada bulan Februari 2014 untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat ASEAN mengenai gabungan rantau ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA