Delegasi Pera...

Delegasi Perancis diraikan dalam majlis resepsi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Satu delegasi daripada ‘France-South-East Asia Interparliamentary Friendship Group of France Senate’ yang sedang dalam lawatan dua hari ke Brunei Darussalam telah diraikan dalam majlis resepsi yang berlangsung di kediaman Duta Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, di ibu negara, hari ini.

Hadir di majlis resepsi itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan Duta Besar dan Mutlak Republik Perancis, Loan Forgeron.

Delegasi berkenaan terdiri daripada empat orang senator yang diketuai oleh Presiden ‘France-South-East Asia Interparliamentary Friendship Group’, Gerard Miquel; Timbalan Presiden cawangan Thailand, Bernard Saugey; Timbalan Presiden cawangan Brunei Darussalam, Jean-Claude Lenoir dan juga Timbalan Presiden cawangan Filipina, Simon Sutour serta diiringi bersama setiausaha eksekutif kumpulan berkenaan, Anne-Laure Saint-Dizier.

Gerard Miquel semasa ditemui Media Permata menyatakan bahawa dalam lawatan hari ini, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan telah berkenan menerima mengadap rombongan tersebut di samping membuat lawatan ke Kementerian Pendidikan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Loan Forgeron bergambar ramai bersama delegasi dari Perancis.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Loan Forgeron bergambar ramai bersama delegasi dari Perancis.

Kunjungan ke Brunei, jelasnya, bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Perancis dan Brunei dalam sama-sama mempelajari perbezaan budaya, tradisi, bahasa di antara kedua-dua buah negara.

Di samping itu juga untuk mengongsikan kepentingan bersama Perancis dan Brunei dalam pelbagai bidang seperti bidang pendidikan, ekonomi, diplomasi, sektor minyak dan gas dan sebagainya.

Beliau kemudian juga melahirkan perasaan gembira dan setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat Brunei yang telah memberikan layanan terbaik kepada pihak delegasi yang julung-julung kalinya berkunjung ke negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA