Delegasi peringkat tinggi China tiba di Nepal untuk lawatan rasmi

Delegasi peringkat tinggi China tiba di Nepal untuk lawatan rasmi

KATHMANDU, 24 Ogos (Bernama) – Satu delegasi peringkat tinggi dari China diketuai Pembantu Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Dou Enyong, tiba sini pada Ahad untuk lawatan rasmi tiga hari.

Delegasi itu akan berbincang dengan pihak berkuasa Nepal mengenai kemungkinan kerjasama China dalam pembinaan semula Nepal selepas kejadian gempa bumi besar-besaran di Nepal, April lepas, menurut kenyataan Kedutaan China.

Delegasi itu dijadualkan bertemu Perdana Menteri Nepal Sushil Koirala, Menteri Luar Mahendra Bahadur Pandey dan pemimpin dari parti-parti politik di Nepal.

Delegasi China itu juga dijadualkan mengadakan perbincangan rasmi dengan delegasi Nepal yang diketuai Setiausaha Luar Nepal Shankar Das Bairagi pada majlis kerjasama umum Nepal-China, katanya. Bercakap kepada pemberita sebaik tiba di lapangan terbang, Dou berkata China sebagai jiran terdekat Nepal akan membantu dalam membina semula struktur-struktur bangunan yang rosak di negara berkenaan.

“Kami akan mengadakan perbincangan secara terperinci dengan pihak berkuasa Nepal mengenai kaedah kerjasama sebagai satu aspirasi rakyat Nepal dan keperluan praktikal di negara ini.

“Saya percaya, dengan usaha bersama masyarakat antarabangsa dan rakyat sendiri, Nepal akan mengharungi kesukaran dan membina semula negaranya dengan secepat mungkin”, katanya. China mengumumkan geran berjumlah AS$76 juta bagi pembinaan semula Nepal dan delegasi Cina ini dijangka membincangkan bidang serta kaedah untuk menggunakan bantuan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA