Delegasi PPNBD sertai persidangan di Korea Selatan

Delegasi PPNBD sertai persidangan di Korea Selatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Delegasi dari Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), hari ini, berlepas ke Korea Selatan untuk menyertai Persidangan Pengakap Rantau Asia Pasifik ke-25 bersama lebih 1,000 perwakilan pengakap dari 29 buah negara dari seluruh rantau Asia Pasifik.

Hadir bagi mengucapkan selamat berlepas kepada para delegasi di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Naib Yang Di-Pertua PPNBD, Haji Abu Bakar bin Haji Ahmad serta pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan pegawai eksekutif pengakap serta ahli-ahli keluarga delegasi PPNBD.

Persidangan anjuran Pergerakan Pertubuhan Pengakap Sedunia / Pejabat Pengakap Rantau Asia Pasifik dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Korea akan berlangsung selama lapan hari bermula 3 hingga 8 November nanti.

Persidangan yang akan diadakan Pusat Persidangan Kimdaejung, Gwang-ju, Republik Korea itu, bakal dirasmikan oleh Presiden Republik Korea.

Dato Paduka Haji Idris bersama delegasi PPNBD yang menyertai persidangan di Korea Selatan.
Dato Paduka Haji Idris bersama delegasi PPNBD yang menyertai persidangan di Korea Selatan.

Dalam persidangan itu, delegasi PPNBD seramai 10 orang pemimpin pengakap akan sama-sama membincangkan pelbagai isu mengenai pergerakan Pengakap Rantau Asia Pasifik dan Pengakap Sedunia serta mengesahkan beberapa perlembagaan.

Delegasi PPNBD ke persidangan itu diketuai oleh Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas, dan disertai oleh Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Ismail bin POKRS DS Haji Awang Abdul Hapidz, Setiausaha Agung PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan pemimpin pasukan pengakap.

Persidangan yang diadakan tiga tahun sekali itu, akan membincangkan program pergerakan pengakap di rantau Asia Pasifik bagi penambahbaikan dan perkembangan pergerakan pengakap berkenaan terutamanya dalam melaksanakan pelan strategik pergerakan pengakap di rantau Asia Pasifik tahun 2015-2018 dan pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia.

Persidangan Pengakap Sedunia ke-4 yang lalu telah diadakan di Dhaka, Bangladesh pada 2012.

Di akhir persidangan itu nanti, keputusan hasil resolusi akan dibentangkan.

ARTIKEL YANG SAMA