Delegasi, tetamu kenamaan naik ‘usungan’ ke persidangan

Delegasi, tetamu kenamaan naik ‘usungan’ ke persidangan

KOTA KINABALU, 11 Jan (Bernama) – Persidangan ke-23 Speaker dan Yang Dipertua Dewan Negara negara Komanwel (CSPOC) hari ini, menampilkan kelainan apabila kesemua delegasi dan tetamu kenamaan dibawa menaiki kereta berhias berkonsepkan ‘usungan’ menuju ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Delegasi dan tetamu kenamaan termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir merasmikan persidangan di sini, dibawa menaiki kereta berhias sebaik tiba di pagar pintu masuk utama DUN Sabah yang terletak kira-kira 200 meter dari bangunan DUN.

Ketika diarak masuk, kereta berhias membawa Ahmad Zahid, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Speaker DUN Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali diiringi pasukan berkuda dengan disertai 23 penunggang dari Persatuan Kuda Bajau Kota Belud.

Usungan dalam bahasa Melayu merujuk sebagai alat seperti tandu digunakan untuk mengusung orang besar (bangsawan atau kenamaan) dan dikelilingi pengiring menuju ke sesuatu tempat.

Speaker dari negara-negara Komanwel diarak dengan ‘usungan’ bagi menghadiri CSPOC ke-23. – Bernama
Speaker dari negara-negara Komanwel diarak dengan ‘usungan’ bagi menghadiri CSPOC ke-23. – Bernama

Ia merupakan warisan budaya unik dan rapat dengan masyarakat di Kota Belud yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi dengan penuh ketertiban alat pemakaian serta kegunaannya.

Ketika tiba di pagar pintu masuk utama DUN Sabah, kesemua delegasi dan tetamu kenamaan disambut dengan pukulan gong oleh kumpulan pemukul gong Kampung Siasai, Kota Belud diketuai Jaungan Soyon.

Persidangan itu menampilkan kepelbagaian budaya etnik dan tradisi Sabah apabila barisan penyambut delegasi dan tetamu kenamaan memakai pakaian tradisional pelbagai kaum di Sabah termasuk daripada kaum Dusun, Bajau dan Murut.

Persidangan CSPOC dihadiri 48 speaker dan dewan negara Komanwel yang berlangsung sejak Sabtu lepas hingga Khamis ini.