Delegasi Thai kunjungi Tutong, Darulifta

Delegasi Thai kunjungi Tutong, Darulifta

Oleh Normazlina M.D & Pg Fairol RMF

 

TUTONG, 30 Sept – Lima pegawai Penerangan dan Media dari Public Relations Department (PRD), Thailand yang berada di negara ini bagi mengikuti Program Pertukaran Lawatan Pegawai Penerangan dan Media Cetak, hari ini, meneruskan atur cara program dengan mengadakan lawatan ke Daerah Tutong.

Lawatan pada hari ketiga ini dimulakan dengan kunjungan ke Jabatan Daerah Tutong di mana kehadiran mereka dialu-alukan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas di Jabatan Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.

Bagi memperkenalkan lagi mengenai Daerah Tutong kepada delegasi, taklimat mengenai Jabatan Daerah Tutong telah disampaikan oleh Pegawai Pentadbir Tingkat 1, Dayang Fathin Naquiah binti Haji Yaakub dan diikuti dengan lawatan ke Bilik Galeri 1K1P di jabatan berkenaan.

Delegasi berkenaan seterusnya membuat lawatan ke The Hanna Soy & World (B) Sdn Bhd dan Golden Cooperation Sdn Bhd di Kampung Serambangun, Tutong.

Sementara itu, pada sebelah petang pula, delegasi berkunjung ke Bangunan Darulifta, Jabatan Mufti Kerajaan yang terletak di Jalan Babu Raja, di ibu negara.

Delegasi media Thailand semasa berkunjung ke Bangunan Darul ifta, Jabatan Mufti Kerajaan.
Delegasi media Thailand semasa berkunjung ke Bangunan Darul ifta, Jabatan Mufti Kerajaan.
Gambar ramai kunjungan ke The Hanna Soy & World (B) Sdn Bhd, Tutong.
Gambar ramai kunjungan ke The Hanna Soy & World (B) Sdn Bhd, Tutong.

Dalam lawatan itu, mereka dibawa ke beberapa galeri dan diterangkan mengenai Galeri Mushaf yang berusia 1,000 tahun, Galeri Pedang Nabi dan Galeri Tongkat dan Tasbih yang diperbuat daripada kurma sebanyak 1,000 biji panjang, yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Mufti Kerajaan, Dayang Nad’ya binti Haji Said.

Delegasi yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Media dan Maklumat, Pejabat Luar, Jabatan Perhubungan Awam Thailand, Valeerat Sakornphan, itu akan berada di negara ini selama lima hari hingga 2 Oktober ini.

Program pertukaran ini merupakan salah satu projek yang telah dipersetujui pada Mesyuarat Teknikal Bersama ke-6 di bawah Memorandum Persefahaman di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kerajaan Thailand dalam bidang penerangan dan penyiaran.

Ia antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengalaman serta berkongsi maklumat tentang peranan dan fungsi masing-masing selaku telinga, mata dan lidah kerajaan di kedua-dua negara ke arah memelihara, meningkatkan dan mencemerlangkan imej raja, negara dan kerajaan melalui penyebaran maklumat yang cepat, tepat dan berwibawa.

ARTIKEL YANG SAMA