Delegasi Thailand kunjungi Brunei

Delegasi Thailand kunjungi Brunei

Oleh Normazlina M.D, Siti Nur Wasimah S. & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Delegasi lima pegawai penerangan dan media dari Jabatan Perhubungan Awam Thailand, kini berada di Brunei Darussalam bagi Program Pertukaran Lawatan Pegawai Penerangan dan Media Cetak selama lima hari bermula kelmarin hingga 2 Oktober ini.

Hari ini, delegasi berkenaan yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Media dan Maklumat, Pejabat Luar, Jabatan Perhubungan Awam Thailand, Baleerat Sakornphan, telah memulakan atur cara program dengan mengadakan lawatan ke Jabatan Penerangan di mana mereka mendengar taklimat mengenai peranan jabatan berkenaan yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Awang Mohammad Hisyam bin Idris.

Selepas itu, mereka dibawa melawat ke Radio Televisyen Brunei (RTB), di mana mereka berpeluang mengunjungi bilik Bahagian Radio, Berita dan Pertukaran Berita sebelum program lawatan diteruskan dengan kunjungan ke Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di mana ketibaan mereka disambut meriah dengan persembahan gulintangan oleh Kumpulan Senandung Budaya, di Bilik Citra, KKBS. Dalam lawatan itu, delegasi turut mendengar taklimat mengenai kementerian berkenaan yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat 1, Awang Abdul Khalid bin Haji Mohd Noor.

Delegasi Thailand mendengarkan taklimat dari Jabatan Penerangan.
Delegasi Thailand mendengarkan taklimat dari Jabatan Penerangan.
Gambar ramai delegasi Thailand ketika berada di Radio Televisyen Brunei.
Gambar ramai delegasi Thailand ketika berada di Radio Televisyen Brunei.
Delegasi ketika berada di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Delegasi ketika berada di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sepanjang berada di negara ini, delegasi berkenaan juga akan mengadakan lawatan ke agensi-agensi kerajaan dan swasta lain seperti Jabatan Daerah Tutong, Kilang Hanna Soy & World (B) Sdn Bhd, Golden Corperation Brunei Sdn Bhd dan sebagainya.

Program pertukaran ini merupakan salah satu projek yang telah dipersetujui pada Mesyuarat Teknikal Bersama Ke-6 di bawah Memorandum Persefahaman di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kerajaan Thailand dalam bidang penerangan dan penyiaran.

Ia antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengalaman serta berkongsi maklumat tentang peranan dan fungsi masing-masing selaku telinga, mata dan lidah kerajaan di kedua-dua negara ke arah memelihara, meningkatkan dan mencemerlangkan imej raja, negara dan kerajaan melalui penyebaran maklumat yang cepat, tepat dan berwibawa.

ARTIKEL YANG SAMA