Delegasi UNISSA kunjungi Duta Oman

Delegasi UNISSA kunjungi Duta Oman

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Satu delegasi dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah membuat kunjungan kepada Duta Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Sheikh Ahmed Hashil bin Rashid Al-Maskari di Kedutaan Kesultanan Oman di sini.

Semasa kunjungan itu, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang mengetuai delegasi berkenaan telah menyampaikan penghargaan pihak universiti atas usaha berterusan Sheikh Ahmed Hashil ke arah memperkukuhkan kerjasama di antara UNISSA dan institusi-institusi pendidikan di Kesultanan Oman.

Delegasi berkenaan turut disertai oleh Dekan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Timbalan Dekan fakulti berkenaan, Dr Adil El Sheikh Abdallah dan tujuh orang pelajar yang akan menyertai universiti-universiti Oman.

Menurut kenyataan UNISSA, seperti tahun lalu, satu pasukan yang terdiri daripada tiga pelajar akan melanjutkan pengajian mereka dalam Bahasa Arab selama lapan minggu di Qaboos College for Non-Native Speakers.

Sementara itu, satu lagi pasukan akan menyertai University of Sultan Qaboos bagi program selama setahun, yang mana pasukan ini merupakan kumpulan pertama dalam program sedemikian.

Sheikh Ahmed Hashil bergambar ramai bersama delegasi dari UNISSA yang diketuai oleh Dr Haji Norarfan.
Sheikh Ahmed Hashil bergambar ramai bersama delegasi dari UNISSA yang diketuai oleh Dr Haji Norarfan.

Dalam kunjungan itu, Dr Haji Norarfan berterima kasih kepada Sheikh Ahmed Hashil atas kerjasama berterusannya dalam pelbagai bidang dan dalam mengekalkan pelbagai matlamat di antara UNISSA dan Kesultanan Oman.

Sementara itu, Duta Kesultanan Oman pula telah memberikan panduan dan nasihat kepada para pelajar berkenaan dengan menggalakkan mereka untuk mendapatkan manfaat daripada peluang berharga berkenaan.

Beliau juga mengongsikan serba sedikit mengenai kehidupan dan kebudayaan di Oman secara umum dan kampus secara amnya.

Para pelajar berkenaan juga telah menyampaikan penghargaan mereka kepada Sheikh Ahmed Hashil dan mengucapkan terima kasih kepada beliau atas nasihatnya.

Mereka juga berjanji untuk mendapatkan manfaat sebanyak mungkin daripada peluang tersebut dan mereka akan melakukan yang terbaik dalam mengukuhkan hubungan di antara kedua-dua buah negara.

ARTIKEL YANG SAMA