Delegasi Vietnam kunjungi RTB

Delegasi Vietnam kunjungi RTB

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Delegasi dari Kementerian Penerangan dan Perhubungan Republik Sosialis Vietnam, seramai lima orang pegawai telah mengadakan lawatan ke Radio Televisyen Brunei (RTB) untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bidang penyiaran di Negara Brunei Darussalam khususnya perkhidmatan radio, hari ini.

Semasa lawatan itu, delegasi yang diketuai oleh Ketua Pengarah kementerian tersebut, Le Van Nghiem, berpeluang mendengar taklimat mengenai peranan, visi, misi dan hubungan jabatan dengan media-media antarabangsa termasuk Vietnam yang disampaikan oleh Ketua Rangkaian Pilihan FM, Dayang Rokiah binti Dato Paduka Haji Alikhan.

Selepas taklimat berkenaan, delegasi dibawa untuk melihat siaran langsung Rampai Pagi di Studio 3, Bahagian Berita Hal Ehwal Semasa dan Sukan dan Pertukaran Berita.

Dalam lawatan itu, delegasi juga diberikan maklumat mengenai gerak kerja di bahagian berkenaan dan melihat lebih dekat bagaimana proses penyuntingan dan pertukaran berita dibuat.

Delegasi bergambar ramai di Studio Pilihan FM.
Delegasi bergambar ramai di Studio Pilihan FM.

Delegasi juga berkesempatan berkunjung ke semua rangkaian-rangkaian radio; Pilihan FM, Nasional FM, Pelangi FM, Nur Islam dan Harmoni FM untuk mengetahui pengisian program setiap rangkaian berkenaan.

Di akhir lawatan, delegasi telah mengadakan perjumpaan muhibah dengan Pengarah RTB, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.

Dengan adanya lawatan itu, ia diharapkan akan dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam khususnya dalam bidang penyiaran dan media.

ARTIKEL YANG SAMA