Delegasi Wakayama kunjungi SM YSHHB

Delegasi Wakayama kunjungi SM YSHHB

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Satu delegasi dari Wilayah Wakayama, Jepun, semalam telah berkunjung ke Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bagi program tahunan Pertukaran Pelajar Kebudayaan Belia Wakayama-Brunei 2016.

Delegasi yang terdiri daripada seorang pegawai kerajaan Jepun, 15 pelajar dari sembilan sekolah tinggi dan universiti di Wilayah Wakayama itu telah dialu-alukan oleh guru-guru SM YSHHB dan Ketua Pegawai Eksekutif SM YSHHB, Awang Noorhaizamdin bin Haji Mosbi di dewan teater sekolah tersebut.

Lawatan yang dikelolakan oleh Bahagian Matematik, SM YSHHB itu telah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan alu-aluan Awang Noorhaizamdin yang antara lain mengalu-alukan kedatangan para pelajar Jepun berkenaan dan berharap program pertukaran ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua buah sekolah.

Pelajar-pelajar berkenaan kemudian turut menyampaikan taklimat mengenai Wilayah Wakayama yang merangkumi budaya dan lokasi pelancongannya.

Pelajar-pelajar Jepun dari Wilayah Wakayama menyampaikan taklimat mereka.
Pelajar-pelajar Jepun dari Wilayah Wakayama menyampaikan taklimat mereka.

Selain itu, delegasi turut diberikan cenderamata dari SM YSHHB.

Majlis turut menyaksikan persembahan tarian, lakonan dan tarian tradisi tempatan dan tarian Jepun oleh pelajar-pelajar SM YSHHB dan pelajar Wakayama, Jepun.

Selepas itu, delegasi berkenaan dibawa melawat ke perpustakaan, makmal sains, makmal komputer, bilik seni dan bilik Inggeris untuk mengenali lebih lanjut aktiviti yang ada di sekolah berkenaan.

Program ini merupakan aktiviti tahunan SM YSHHB dengan mengalu-alukan pelajar luar negara dalam program perjanjian pertukaran mempromosi budaya dan pelancongan kedua-dua buah negara.

ARTIKEL YANG SAMA