Demam kuning mungkin landa Vietnam

Demam kuning mungkin landa Vietnam

HANOI, 19 Mei (Bernama) – Kementerian Kesihatan Vietnam mengeluarkan amaran berjaga-jaga bahawa penyakit berjangkit demam kuning berkemungkinan melanda negara itu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Kementerian berkata demam kuning merebak menerusi gigitan nyamuk dan kadar kematian akibat penyakit itu meningkat 50 peratus. Tiada ubat untuk merawat demam itu dan langkah pencegahan terbaik ialah menerusi pengambilan vaksin.

Meskipun Vietnam belum mencatatkan sebarang kes demam kuning tetapi terdapat pertukaran pekerja antara negara itu dengan negara yang sedang dilanda wabak penyakit berkenaan iaitu Angola dan juga negara Afrika serta Amerika Latin yang lain.

Kementerian menasihatkan mereka yang akan ke negara terjejas dengan wabak perlu mengambil suntikan vaksin sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh perjalanan.

Mereka juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi peraturan anti-nyamuk yang dicadangkan oleh negara dilawati.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengawasi kesihatan diri masing-masing dalam tempoh tujuh hari selepas kembali dari negara terjejas wabak.

Menurut kementerian orang ramai juga dinasihatkan berjumpa doktor jika mendapati mempunyai sebarang simptom.

ARTIKEL YANG SAMA